Struktur semula tol, kerajaan jimat RM4.3 bilion

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penstrukturan semula tol Kesas, LDP, Sprint dan Smart yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan dapat menjimatkan

pembayaran pampasan dari 1 Januari 2022 sehingga tamat tempoh konsesi sebanyak RM4.3 bilion.

Menteri Kanan Kerjaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam perincian penstrukturan semula empat tol berkenaan memberitahu penjimatan bersih bagi pembayaran pampasan subsidi tol untuk semua lebuh raya tersebut adalah dianggarkan sebanyak RM4.3 bilion dan sekali gus penjimatan ini boleh dimanfaatkan bagi tujuan kesejahteraan rakyat yang perlu diutamakan antaranya kemudahan infrastruktur negara serta lain-lain kemudahan kepada rakyat.

“Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula yang melibatkan empat syarikat konsesi lebuh raya di sekitar Lembah Klang di mana tiada lagi kenaikan kadar tol bagi keempat-empat buah lebuh raya berkenaan.

“Pihak kerajaan mengalu-alukan pihak swasta untuk tampil dengan terma sedemikian, di mana tiada sebarang kenaikan kadar tol dan pihak syarikat konsesi akan memulangkan lebuh raya kepada kerajaan sejurus setelah melunaskan hutang kewangannya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Fadillah, penambahbaikan ini bakal memberikan suatu kelegaan kepada rakyat di samping memenuhi obligasi kepada pihak pelabur.

Kata Menteri Kerja Raya itu lagi, pengguna lebuh raya-lebuh raya berkenaan tidak perlu lagi khuatir akan kebarangkalian kenaikan kadar tol dan Kerajaan juga tidak perlu lagi menggunakan hasil kutipan cukai daripada rakyat untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi.

“Pada hari ini, satu syarikat swasta iaitu Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Azlan Mohd Zainol di mana kesemua pemegang saham ALR ini tidak berasaskan keuntungan (“not-for-profit”), telahpun menawarkan untuk membeli 100 peratus kesemua empat syarikat konsesi tersebut.

“Melalui kaedah penstrukturan semula ini, tiada lagi pemegang saham yang berorientasikan keuntungan yang akan melibatkan pulangan kepada pemegang saham dalam apa jua bentuk (seperti dividen).

“Pemegang-pemegang saham sedia ada pula yang antaranya terdiri daripada KWSP, KWAP, PNBM dan Lembaga Tabung Haji akan mendapat pulangan daripada pelaburannya lebih awal daripada sepatutnya,” jelas Fadillah.

Ujar beliau lagi, kerajaan juga tidak boleh mengabaikan obligasinya di dalam Perjanjian Konsesi sedia ada kerana ianya akan memberikan imej negatif kepada para pelabur yang akan menyebabkan kekurangan minat pelabur untuk melabur di Malaysia.

Katanya, jika ini berlaku maka pelaburan di dalam negara akan berkurang dan akan menyebabkan rakyat menghadapi kesukaran.

“Ini selaras dengan Dasar Penswastaan, di mana syarikat swasta masih lagi bertanggungjawab mengendalikan operasi dan menyenggara lebuh raya berkenaan. Kerajaan juga telah memastikan bahawa ALR perlu menyerap kesemua kakitangan sedia ada yang sedang berkhidmat di bawah keempat-empat syarikat konsesi berkaitan.

“Dengan itu, tiada isu pembuangan pekerja berhubung cadangan penstrukturan ini. Justeru, status bagi kesemua pekerja di bawah syarikat-syarikat konsesi ini adalah
terjamin.

“Jika dibandingkan dengan cadangan sebelum ini, ianya melibatkan Jaminan Kerajaan, pengambilalihan syarikat serta keseluruhan entiti lebuh raya (nationalisation) serta
kemungkinan lanjutan tempoh konsesi. Kaedah ini adalah bercanggah dengan Dasar Penswastaan yang mana ianya akan memberi implikasi negatif kepada para pelabur,” jelasnya.

Dengan cadangan penstrukturan semula ini Fadillah menegaskan, tiada lagi kenaikan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi bagi keempat-empat lebuh raya terlibat dibandingkan dengan peruntukan perjanjian konsesi asal yang memperuntukan kenaikan tol bagi lebuh rayalebuh raya berkenaan secara berkala di antara 5 ke 7 tahun mengikut perjanjian konsesi masing-masing.

Jelas beliau lagi, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan bagi transaksi ini.

Malah katanya, kerajaan juga tidak memberikan sebarang jaminan untuk pembiayaan ALR bagi cadangan penstrukturan semula ini dan kerajaan juga tidak perlu menanggung sebarang kos penyenggaraan dan operasi dengan penstrukturan semula ini.

“Syor pihak ALR untuk mengekalkan kadar tol melalui Perjanjian Konsesi Tambahan adalah melibatkan semua kelas kenderaan bagi keempat-empat syarikat konsesi tersebut.

“Bagi membantu ALR mencapai objektif penubuhannya, pihak Kerajaan telah bersetuju untuk memberi pelanjutan tempoh konsesi kepada KESAS, LDP, SPRINT dan SMART
sebagai balasan tidak menaikkan kadar tol.

“Namun, lanjutan tempoh konsesi ini bukanlah hak eksklusif syarikat konsesi dan tertakluk kepada bilangan trafik serta analisa oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa,” ujar beliau.

Fadillah menambah, amanat dan prinsip penstrukturan ALR ini adalah selaras dengan prinsip Keluarga Malaysia yang sentiasa mendahulukan keperluan dan kepentingan rakyat.

“Usaha ALR untuk memuktamadkan pembelian syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ini adalah merupakan suatu inisiatif cadangan penstrukturan daripada pihak swasta yang
memberikan situasi menang-menang serta menguntungkan kerajaan dan rakyat juga.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat