Oleh Zihan Zari
PETALING JAYA – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan kerja -kerja baik pulih bekalan kuasa di Laluan MRT Putrajaya giat dijalankan susulan kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen MRT Damansara Damai yang dikesan pada awal pagi Selasa.
Rapid Rail dalam kenyataan berkata kejadian tersebut telah menyebabkan gangguan perkhidmatan dan memerlukan kerja pembaikan menyeluruh bagi memastikan sistem kembali beroperasi dengan selamat serta stabil.
“Perkhidmatan dijangka dipulihkan secara berperingkat dalam tempoh tiga hari dan sepanjang tempoh gangguan ini, perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara ulang-alik percuma disediakan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan,”kata kenyataan itu.
Katanya, penumpang juga disarankan menggunakan laluan rel alternatif dan memohon kerjasama semua penumpang untuk mematuhi arahan petugas di stesen demi kelancaran pergerakan dan keselamatan bersama.
“Maklumat terkini mengenai status perkhidmatan akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi saluran media sosial Rapid KL serta aplikasi MyRapid Pulse, ”katanya lagi.-SUARA.TV



