KUALA LUMPUR – Kerajaan mengesahkan lapan Ahli Parlimen tidak hadir ketika pengundian Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun di Dewan Rakyat, sekali gus menyebabkan draf undang-undang itu kelmarin gagal memperoleh sokongan dua pertiga.
Jurucakap kerajaan Datuk Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah itu tiga Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), manakala masing-masing seorang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta dua Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan.
Lapan Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan tetapi tidak hadir dalam sesi itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Henry Sum Agong (Lawas), Riduan Rubin (Tenom), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Suhaimi Nasir (Libaran), Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Larry Soon (Julau) dan Datuk Seri Dr Jeffrey@ Kitingan (Keningau).
Fahmi berkata, setiap Ahli Parlimen terbabit mengemukakan pelbagai alasan apabila ditanya mengenai ketidakhadiran mereka antaranya berada di hospital dan ‘tersangkut’ dalam kesesakan lalu lintas.
“Jadi, Kita sudah membuat semakan dengan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan juga Pejabat Ketua Whip mengenai Ahli Parlimen tidak hadir.
“Dari blok PH, 100 peratus hadir. Semua hadir Dan semua mengundi.
“Setiap dari mereka bila ditanya kenapa tidak berada di situ (Dewan Rakyat) ada yang memberikan pelbagai alasan,” katanya pada sidang media selepas perasmian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pada Selasa menurut BH di Cyberjaya.
Fahmi menjelaskan, Ahli Parlimen Libaran tidak dapat menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana dimasukkan ke hospital.
Fahmi berkata, Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan juga tidak hadir kerana perlu menghadiri upacara keagamaan.
“Saya difahamkan Ahli Parlimen Libaran berada di hospital, manakala Ahli Parlimen Tapah memaklumkan bahawa beliau menghadiri upacara sembahyang,” katanya.
Berhubung respon Fadillah terhadap ketidakhadiran Ahli Parlimen berkenaan, Fahmi berkata riak wajah Timbalan Perdana Menteri menunjukkan kekecewaan.
“Saya lihat raut wajah beliau… Timbalan Perdana Menteri itu kelihatan sedikit kecewa bahawa lapan Ahli Parlimen tidak ada (dalam Dewan Rakyat),” katanya.
Kelmarin, Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.
Ia selepas RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen iaitu 148, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.
Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan oleh seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.



