Hamzah akan ambil alih parti yang tidak berdaftar?

KUALA LUMPUR, – Kenyataan beberapa pihak bahawa Datuk Seri Hamzah Zainuddin bakal mengambil alih Parti Keluarga Malaysia kini menimbulkan tanda tanya apabila semakan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mendapati tiada parti dengan nama tersebut didaftarkan setakat ini.

Semalam media melaporkan pengasas Parti Keluarga Malaysia (PKM), Khairi Jaya, mendakwa rundingan telah diadakan bagi membolehkan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengambil alih parti berkenaan. Beliau turut menyatakan kemungkinan pengambilalihan itu mencecah sekitar 90 peratus.

Hamzah juga kemudian dilihat memberi gambaran positif mengenai perkara tersebut apabila mengakui wujud perbincangan untuk mengambil alih parti berkenaan, namun menjelaskan bahawa beberapa perkara teknikal masih perlu diperhalusi.

Bagaimanapun perkembangan itu kini menimbulkan persoalan besar sama ada parti tersebut benar-benar wujud sebagai sebuah parti politik yang berdaftar.

Semakan terhadap senarai simbol parti politik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 19 September 2025 menunjukkan terdapat 70 parti politik berdaftar di negara ini, namun tiada satu pun menggunakan nama Parti Keluarga Malaysia.

Situasi itu menimbulkan kemungkinan bahawa parti berkenaan sama ada masih dalam proses pendaftaran dengan ROS atau menggunakan platform pertubuhan yang berbeza sebelum didaftarkan secara rasmi sebagai parti politik.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mempelopori slogan “Keluarga Malaysia” sebelum ini turut menafikan sebarang kaitan beliau dengan parti tersebut.

Menurut beliau, istilah “Keluarga Malaysia” bukan sesuatu yang dipatenkan dan boleh digunakan oleh mana-mana pihak.

“Nama Keluarga Malaysia bukan sesuatu yang dipatenkan. Jadi sesiapa pun boleh menggunakannya,” katanya.

Perkembangan tersebut berlaku ketika landskap politik pembangkang sedang mengalami perubahan susulan pemecatan Hamzah daripada Bersatu, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai langkah seterusnya yang bakal diambil oleh beliau dalam menentukan platform politik baharu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat