PAGOH – Calon Barisan Nasional (BN) Bukit Kepong, Ismail Mohamad memilih untuk tidak menggunakan pendekatan menyerang peribadi calon lawan.

Penyandang ADUN Bukit Kepong itu sebaliknya menawarkan program-program membantu rakyat dari segi ekonomi, perumahan dan juga program kebajikan sekiranya dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Kita tidak buat pendekatan serang peribadi tapi lebih menawarkan program-program bantu rakyat begitu juga kita di DUN Bukit Kepong.

“Kita tawarkan dari segi pendekatan bantuan kepada rakyat dari segi ekonomi, perumahan dan juga program kebajikan apabila kita menang nanti.

“Kita tahu isu perumahan yang terbengkalai selama ini kita lebih kepada nak teruskan usaha-usaha yang pernah kita buat dahulu,” ujar Ismail ketika ditemui pada Jumaat.

Ketua UMNO Pagoh itu juga memberitahu jentera beliau mendekati pengundi putih demi untuk memastikan sokongan kekal pada hari mengundi.

“Kita sebenarnya mempunyai rangkaian cawangan dengan lebih 147 PDM dan jentera jadi pendekatan itu yang kita gunakan untuk gerakkan jentera.

“Kita juga telah kenal pasti pengundi yang sokong kita jadi pengundi putih itu kita dekati dan pastikan mereka sokong kita sehingga hari mengundi.

“Jadi pendekatan kita lebih mendekati pengundi yang menyokong kita dengan lebih dekat lagi,” beritahu Ismail.

Beliau senang hati dengan pelanjutan tempoh berkempen kepada 12 tengah malam kerana lebih banyak program dapat disusun dan lebih ramai pengundi dapat didekati.