KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berpandangan penjelasan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berhubung penggunaan perkataan “cerai” adalah wajar dan jelas, sekali gus berjaya meredakan polemik yang tercetus sebelum ini.
Salleh berkata, komen awal beliau hanya menyentuh soal pemilihan istilah tersebut kerana ia mudah disalah tafsir dalam isu yang sensitif, khususnya apabila melibatkan hubungan Sarawak dan Semenanjung.
“Komen saya sebelum ini hanyalah berkaitan pemilihan perkataan ‘divorce’, kerana ia boleh mudah disalah tafsir dalam isu yang sensitif,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Salleh dilaporkan menasihati Alexander bahawa penggunaan perkataan “cerai” dalam perbincangan mengenai kedudukan Sarawak dalam Malaysia adalah tidak perlu dan tidak membina, kerana perbincangan berkaitan hak, autonomi serta pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seharusnya dilihat sebagai usaha memperkukuh Persekutuan, bukannya ancaman kepada perpaduan.
Menurut Salleh, perbezaan pandangan dan kritikan membina adalah sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat dan Malaysia akan terus bergerak ke hadapan apabila pemimpin mengutamakan dialog serta rasa hormat berbanding bahasa yang bersifat emosional.
Bagaimanapun selepas kritikan itu, Salleh berkata beliau menerima teguran secara peribadi namun memilih untuk berdepan dengan tenang.
“Saya menerima kritikan secara peribadi. Saya menerimanya dengan tenang dan tanpa emosi,” katanya.
Salleh menegaskan bahawa penjelasan Alexander Nanta Linggi kemudiannya telah memperjelaskan maksud sebenar kenyataan berkenaan, iaitu menyeru semua pihak supaya menghentikan perbalahan yang tidak membina, bukannya mencadangkan perpisahan.
“Penjelasan oleh Alexander Nanta Linggi adalah wajar dan jelas… dengan penjelasan ini, isu tersebut seharusnya dianggap selesai,” katanya.
Salleh turut menekankan bahawa perkara lebih penting kini ialah semua pihak melangkah ke hadapan dengan semangat saling menghormati, bekerjasama serta mengekalkan komitmen terhadap perpaduan dan pembangunan negara.
Dalam minggu lalu, ungkapan “cerai” yang digunakan Alexander dalam satu podcast telah mencetuskan perdebatan, namun beliau menjelaskan ia sekadar kiasan spontan dan bukan bermotifkan politik, sebaliknya bertujuan mengajak rakyat kembali hidup dalam keharmonian.
Salleh berkata, penjelasan itu seharusnya menjadi asas untuk menutup polemik dan kembali memberi tumpuan kepada agenda lebih besar demi rakyat.-SuaraTV



