KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan universiti melaksanakan kajian menyeluruh terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sepertimana kajian yang dijalankan terhadap pilihan raya Datuk Bandar.
Ketua Penerangan Pas itu berkata, fokus kajian UEC itu membabitkan kedudukannya dalam Perlembagaan dan kesannya kepada dasar pendidikan kebangsaan.
“Menteri Wilayah kata kajian untuk buat plihan raya datuk bandar akan dilaksanakan oleh ahli akademik dan bukannya DAP, apa nak takut katanya.
“Jika begitu, saya nak cadangkan kajian menyeluruh terhadap sistem UEC, kedudukannya dalam perlembagaan dan kesannya kepada dasar pendidikan kebangsaan dilaksanakan oleh ahli-ahli akademik berpengalaman.
“Pilih mana-mana universiti untuk laksanakan kajian ini dengan ahli-ahli akademik yang diiktiraf dalam bidang berkaitan.
“Bukan parti politik buat kajian ini, apa nak takut kan? Realitinya bukan isu kajian, isunya ialah kecenderungan politik yang telah diketahui sejak lama,” bidasnya.
Semalam Hannah Yeoh memaklumkan, kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya datuk bandar di Kuala Lumpur sedang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan bukannya oleh DAP.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu penemuan daripada kajian tersebut akan dibawa ke Kabinet selepas ia selesai kelak.
“Jangan takut, kajian ini dilakukan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ia adalah universiti yang bereputasi tinggi.
“Jadi kajian ini bukan dilakukan oleh orang DAP,” katanya.



