KUALA LUMPUR – Dalam tempoh 25 bulan yang lalu, Barisan Nasional (BN) bukan sekadar memainkan peranan penting dalam Kerajaan Perpaduan tetapi juga menjadi tunjang kestabilan.
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, kejayaan semalam bukan jaminan esok yang lebih sempurna.
“Bersempena pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Kelima Belas, saya semalam meluangkan masa bersama ahli-ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara, dan Adun BN dalam sesi pre-council bagi memperkukuhkan kesatuan serta hala tuju pada sidang Parlimen kali ini.
“Dalam 25 bulan yang lalu, BN bukan sekadar memainkan peranan penting dalam Kerajaan Perpaduan – tetapi menjadi tunjang kestabilan.
“Namun, kejayaan semalam bukan jaminan esok yang lebih sempurna. Cabaran sebenar adalah bagaimana kita terus melangkah, memberikan nikmat buat rakyat dalam bulan-bulan yang mendatang.
“Saya yakin, dengan kesepakatan yang jitu dan semangat perjuangan yang tidak pernah luntur, BN akan terus mara sebagai gabungan yang kukuh, relevan, dan sentiasa mendahulukan rakyat serta negara,” ujar Timbalan Perdana Menteri itu lagi.
Dalam Kerajaan Perpaduan ini, BN diwakili oleh 30 ahli Parlimen yang memegang pelbagai jawatan dalam kabinet dan memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara.
Kerjasama antara parti-parti ini bertujuan untuk memastikan kestabilan politik dan kemakmuran Malaysia.
Selain BN, Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH), bersama-sama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Bangsa Malaysia (PBM), dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).