Hari Kanser 2021: Menara KL, Bangunan Di Putrajaya Disinari Warna Jingga Dan Biru

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Beberapa mercu tanda di seluruh dunia akan diwarnai dengan warna tema Hari Kanser Sedunia iaitu jingga dan biru, bagi menunjukkan sokongan kepada inisiatif dan usaha kesedaran di seluruh dunia.

Usaha simbolik ini dibuat bersempena penjajaran Majlis Kanser Negara Malaysia (MAKNA) terhadap Agenda Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk mencapai masyarakat dengan kesedaran lebih tinggi terhadap kanser, di mana kadar kematian yang boleh dielakkan lebih rendah dan tindakan diambil ke arah dunia tanpa kanser untuk generasi akan datang.

Pengurus Besar MAKNA Farahida Mohd Farid berkata, tahun ini MAKNA telah bergabung dengan Menara KL bersama beberapa bangunan di Putrajaya termasuk pejabat Perdana Menteri, Jambatan Seri Wawasan, Perbadanan Putrajaya, Istana Kehakiman dan Jambatan Seri Gemilang, untuk progam khas satu malam.

“Penyalaan lampu di kesemua menara akan bermula pada 4 Feb dengan Menara KL bermula 8 malam sehingga 12 tengah malam dan Putrajaya bermula 7 petang sehingga 12 tengah malam,” katanya dalam satu kenyataan.

Hari Kanser Sedunia disambut pada 4 Feb setiap tahun.

Farahida berkata, selain menyinari mercu tanda tersebut, MAKNA juga bekerjasama dengan tiga artis tempatan iaitu Pip of Art, Chamology dan Ranerrim, untuk mempersembahkan hasil kerja seni mereka bagi menunjukkan intrpretasi dan visi kanser, menerusi karya seni.

“Walaupun dalam keadaan kawalan pergerakan dan impak pandemik sekarang ini, ia amat penting bagi MAKNA untuk merancang sesuatu yang mempunyai impak dan melaksanakan kempen secara dalam talian, supaya orang ramai terus diingatkan yang kanser terus meragut banyak nyawa di seluruh dunia setiap tahun – lebih daripada COVID-19 – dan penting untuk terus mempromosikan kesedaran, pengesanan awal dan gaya hidup sihat,” katanya lagi.

Beliau berkata, MAKNA turut mengumpulkan selebriti tempatan seperti Atilia Haron, Siti Saleha, Vince Chong, Amber Chia dan Dina Nadzir untuk berkongsikan pandangan mereka dan menyampaikan pesanan untuk Hari Kanser Sedunia.

“Hari Kanser Sedunia adalah satu peluang untuk berhubung dengan kesemua sektor masyarakat dan pastikan yang setiap daripada mereka melakukan usaha masing-masing.

“Hari ini lebih penting untuk semua orang bekerjasama bagi mencari penyelesaian yang membawa kita kepada masa hadapan tanpa kanser,” katanya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,498FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat