Proton catat jualan lebih tinggi pada 2020

- Advertisement -

KUALA LUMPUR:  Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) berjaya mencatat jualan sebanyak 109,716 unit kenderaan pada 2020, meningkat 8.8 peratus berbanding prestasi penanda arasnya pada 2019 sebanyak 100,821 unit.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengeluar kereta nasional itu berkata bahagian pasarannya turut bertambah kepada kira-kira 21.1 peratus yang merupakan penambahan ketara sebanyak 4.4 peratus.

“Pemacu utama pertumbuhan jualan itu ialah Proton Persona, Iriz, Exora dan Saga manakala prestasi Proton X50 melebihi jangkaan walaupun pelancarannya terpaksa ditangguhkan

“Prestasi ini apabila digabungkan dengan penambahan eksport sebanyak 49.8 peratus, membolehkan Proton mengatasi trend industri automotif Malaysia yang dijangka menguncup sebanyak 13 peratus,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.

Proton Saga kekal sebagai kereta paling laris syarikat bagi 2020 manakala pelancaran Proton X50 serta penjualan laris Proton X70 secara keseluruhannya telah menjadikan Proton muncul jenama SUV nombor satu di negara ini.

Beliau berkata, COVID-19 telah menghentikan semua aktiviti ekonomi dan kesan buruknya memerlukan keputusan pengurusan yang cepat, berhemat serta sukar.

“Di Proton, kawalan kos yang rapi serta peningkatan kecekapan selama beberapa tahun lepas telah membolehkan syarikat dapat bertindak balas pantas ketika menghadapi krisis ini.

“Oleh itu walaupun keadaan menjejaskan semua industri, sebaliknya tiada pemberhentian pekerja atau pengurangan gaji di Proton. Lebih penting lagi, pemerhatian keadaan semasa secara teliti membolehkan syarikat menyambung semula operasi perniagaan dengan cepat selepas kawalan pergerakan,” katanya.

Proton telah kehilangan lebih dua bulan aktiviti pengeluaran dan jualan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Li, di sebalik sekatan terhadap pergerakan barangan di peringkat global, 2020 juga menjadi tahun yang kukuh bagi bahagian eksport Proton dengan Disember menjadi bulan paling ketara menerusi beberapa aktiviti termasuk pelancaran Proton Saga pemasangan tempatan (CKD) yang pertama di Kenya.

Ini diikuti pelancaran model itu berserta Proton X70 di Pakistan yang mana akan dijual secara import sepenuhnya (CBU) sebelum dipasang siap di kilang baharu di Karachi tahun ini, katanya.

Proton Saga juga akan memasuki pasaran Mesir dan Bangladesh.

“Proton X50 pula memasuki pasaran eksport pertamanya pada 19 Disember lepas apabila dilancarkan di Brunei Darussalam, sekali gus menjadikannya model keempat Proton dilancarkan di sana pada 2020 selepas Proton Persona, Iriz and Saga pada Januari,” katanya.

Menurut Li, sebagai sebuah jenama Malaysia, Proton berasa bertanggungjawab untuk turut tampil membantu ketika negara dilanda COVID-19 yang menyaksikan syarikat menggunakan sumbernya untuk menyumbang dalam usaha menangani pandemik itu.

Antaranya usaha meminjamkan sebanyak 50 unit Proton X70 bagi kegunaan Kementerian Kesihatan selain membuat dan mengagihkan 120,000 unit pelindung muka bagi petugas barisan hadapan.

“2020 merupakan tahun yang menguji kebolehan Proton kerana kami baru sahaja memulakan haluan baharu. Pandemik ini memberi tekanan hebat kepada organisasi seperti kami yang bergantung terhadap rangkaian bekalan global.

“Namun, gabungan strategi perniagaan yang baik serta sifat komited pekerja telah membolehkan kami menambah jualan semasa keadaan pasaran menurun dan mengukuhkan kepercayaan terhadap strategi produk, kualiti dan komitmen untuk pelanggan. Kami akan terus berusaha untuk mencatat prestasi lebih baik dalam semua aspek perniagaan pada 2021 ini,” katanya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat