Jumlah Mangsa Banjir Di Empat Negeri Catat Peningkatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Banjir di Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa setakat ini, manakala di Johor berkurangan sedikit dan di Kelantan pula kekal.

Di PAHANG, mangsa banjir terus meningkat kepada 13,626 mangsa ditempatkan di 200 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi di sembilan daerah dengan Maran mencatatkan jumlah mangsa paling ramai sebanyak 3,926 mangsa.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan ini diikuti daerah Kuantan seramai 3,314 mangsa; Raub (1,688); Jerantut (1,458); Lipis (1,122); Temerloh (900); Rompin (772); Bentong (253) dan Pekan (193).

Sementara itu, ANIH Berhad dalam kenyataannya memaklumkan setakat 5 petang, KM84.6-KM84.7 Lanchang di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) masih ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan kerana dinaiki air sedalam 1 meter.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir kini mencecah lebih 1,000 orang berbanding 894 orang tengah hari tadi dengan melibatkan empat daerah, iaitu Muallim, Hilir Perak, Kampar dan Kuala Kangsar semuanya ditempatkan di 14 PPS.

Situasi sama turut berlaku di SELANGOR, apabila dua lagi PPS dibuka masing-masing di Bestari Jaya dan Hulu Bernam dengan jumlah mangsa bertambah kepada 174 orang, kata Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 1,044 orang dengan mangsa di daerah Kemaman bertambah kepada 844 orang susulan penambahan tiga lagi PPS menjadikan jumlah keseluruhan PPS ialah tujuh di daerah itu manakala di Dungun mangsa kekal 200 orang di tiga PPS.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata tiga PPS yang baru beroperasi di Kemaman ialah Surau Haji Othman, Masjid Tebak Batu 16 dan Dewan Orang Ramai Felda Seberang Tayor.

Mangsa banjir di JOHOR pula terus turun kepada 6,244 mangsa berbanding 6,991 mangsa pada 12 tengah hari tadi susulan penutupan 10 PPS di beberapa daerah terjejas banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan berkata daerah Kota Tinggi kini mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,661 mangsa, diikuti dengan Kluang seramai 2,123 mangsa dan Kulai sebanyak 585 mangsa.

Katanya beberapa jalan masih ditutup termasuk di Jalan Kota Tinggi-Mersing (Kubu), Jalan Kota Tinggi-Mersing (Batu 16), Jalan Kota Tinggi-Mersing (Risda), Jalan Kota Tinggi-Kluang (arked Mara), Jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas (Jambatan Sungai Semalok), Jalan Tai Hong, Jalan Tai Hong (rumah kampung), Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Semanggar (jambatan), Jalan Mawai Lama dan Jalan Sungai Telor.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di Gua Musang masih kekal petang ini, dengan seramai 322 mangsa di tiga PPS iaitu 279 mangsa daripada 68 keluarga. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat