Bersatu Perak nafi ‘curi’ ahli UMNO

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bersatu Perak menafikan dakwaan yang dilemparkan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa parti menawarkan wang kepada segelintir ahli UMNO dengan bayaran sehingga RM20,000 bagi penubuhan cawangan parti Bersatu di negeri itu.

Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin bagaimanapun menganggap dakwaan Ketua UMNO Bahagian Padang Renggas itu sebagai karut.

“Itu tuduhan karut. Kami dari Bersatu Perak menafikan hal itu.

“Sepanjang dalam pengetahuan saya, tidak pula kami membuat tawaran sebegitu kepada ahli Umno.

“Saya pun terkejut sebab baru tahu ini,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Sebelum ini, Nazri mendakwa Bersatu menawarkan wang berjumlah RM20,000 kepada segelintir ahli Umno bagi menubuhkan cawangan Bersatu di Perak.

Nazri yang juga ahli Parlimen Padang Rengas menambah, tawaran itu dibuat susulan Bersatu kekurangan ahli di peringkat akar umbi.

Jelas Nazri, perkara itu menjadi faktor mengapa UMNO enggan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU 15) akan datang.

UMNO Padang Rengas pimpinan Nazri dalam mesyuarat agungya semalam mengusulkan menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang.

Nazri berkata, UMNO akan membincangkan hubungan bersama Bersatu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi yang dijadual pada Rabu ini (6 Jan).
Sementara itu, Zainol turut berharap Nazri tidak membuat dakwaan secara awam dan melulu.

“Harapnya beliau (Nazri) selepas ini tidak buat kenyataan secara terang-terangan dan melulu.

“Yang penting kami memang nafikan dakwaan itu,” katanya lagi.

Sementara itu, Zainol turut memaklumkan bahawa Bersatu bahagian Padang Rengas akan membuat laporan polis berhubung dakwaan Nazri dalam masa terdekat ini.

“Bersatu Perak (lapor polis) saya tidak pasti lagi.

“Saya cuma dapat maklumat Bersatu bahagian Padang Rengas akan buat laporan polis dalam masa terdekat inilah,” katanya.

Ditanya sama ada Bersatu Perak akan bersemuka dengan Nazri atau meminta penjelasan berhubung dakwaan tersebut, dia berkata perkara itu tidak perlu.

“Tidak perlulah nak bersemuka atau meminta penjelasan lebih-lebih untuk benda mengarut macam ini,” tambahnya lagi.

Pada 2 Januari lalu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Bersatu galak ‘mencuri’ dan ‘membeli’ ahli UMNO.

Susulan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, menuntut permohonan maaf malah mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Asyraf susulan dakwaan tersebut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat