PKR sekarang terlalu perlahan jayakan reformasi, Hassan harap dapat bangkit pada PRU16

KUALA LUMPUR – PKR parti yang memimpin kerajaan sekarang didakwa terlalu perlahan atau kadang-kadang dilihat undur setapak dua ke belakang dalam agenda reformasi sama ada di bidang pentadbiran kerajaan atau di ruang demokrasi dan hak asasi.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, beliau sedar anggota PKR seramai lebih satu juta orang sekarang dalam keadaan lemah semangat dan sedih.

“Kita baru sahaja kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. PKR menang satu kerusi sahaja.

“Pada masa yang sama, kita lihat PKR sekarang tidak padu dan mantap seperti sebelum ini.

“Pemimpin-pemimpin parti terutama ahli-ahli Parlimen dari kalangan PKR sendiri ( termasuk saya sendiri) sering secara lantang dan terbuka mengkritik Perdana Menteri, menteri-menteri dan Kerajaan Madani pimpinan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

“Banyak disebut bahawa PKR yang memimpin kerajaan sekarang terlalu perlahan atau kadang-kadang dilihat undur setapak dua ke belakang dalam agenda reformasi sama ada di bidang pentadbiran kerajaan atau di ruang demokrasi dan hak asasi,” katanya.

Menurut Hassan, kadang-kadang teguran dan kritik itu kelihatan tidak adil kerana tidak mengimbangi dengan beberapa kemajuan dan pencapaian kerajaan selama tiga tahun ini dalam mengurus negara termasuklah dalam soal ekonomi dan kebajikan rakyat jelata.

“Di aras peribadi, walau apapun yang saya telah suarakan agak keras terhadap kerajaan, terutamanya dalam soal Perjanjian Timbal Balik Perdangan Antara Malaysia dengan Amerika Syarikat, dan saya tetap dengan pendirian saya itu, tetapi saya amat menghormati sikap pemimpin kerajaan dan pemimpin PKR khususnya Perdana Menteri dan juga Presiden Parti yang menghormati dan memberi ruang kebebasan untuk kami ahli parlimen PKR bersuara bebas di dalam dan di luar Parlimen.

“Jika parti politik lain, mungkin kami telah dipecat atau digantung keanggotaan parti.Tetapi ini tidak berlaku dalam PKR.

“Saya anggap dari pandangan peribadi saya, contoh yang saya sebut di atas meyakinkan saya, bahawa PKR dan Presidennya Anwar Ibrahim masih teguh berpegang kepada satu teras yang penting dalam reformasi iaitu hak kebebasan dan demokrasi bersuara.

“Jadi saya membuat kesimpulan bahawa PKR boleh bangkit semula dari kekalahan sementara ini.

“Anggaplah kekalahan di Sabah baru-baru ini, satu kekalahan dalam satu pertempuran.

“Dari sejarah PKR sebelum ini, ia pernah bangkit semula dan mara ke depan dengan lebih teguh sehingga memenangi perang yang besar iaitu Pilihan Raya Umum yang akhirnya membawa PKR menjadi parti politik tulang belakang dalam Kerajaan Persekutuan sekarang,” harap beliau.

Kata Hassan, amat sedih dan malang sekali jika sebuah parti politik yang sebaik PKR ini dengan 18 cita-cita perjuangannya yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan Parti untuk menjadi wadah perjuangan rakyat berbilang bangsa membangunkan sebuah negara bangsa yang bersatu, demokratik dan adil menghadapi kemerosotan hanya selepas tiga tahun sahaja berada sebagai kerajaan.

“Saya percaya PKR sebagai sebuah parti politik masih tersusun organisasinya.PKR mampu merancang semula, menyusun strategi, mengenali segala kelemahan parti dan kekuatan parti untuk menyusun saf, mengatur langkah, membina naratif tulen, jujur dan segar dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16, mungkin dalam setahun setengah lagi,” ujarnya optimis.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat