Armizan harap Ewon, Nizam Titingan dan Jamawi bawa pendekatan segar, berhasil buat Kerajaan Sabah

KUALA LUMPUR – Tidak ada mana-mana pihak dan kerajaan sebelum ini boleh memenuhi setiap satu aspirasi rakyat.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd Ali mengingatkan bahawa mandat yang diberikan ini harus diterjemahkan dengan komitmen dan penghasilan.

“Saya amat berharap rakan-rakan seangkatan yang menerima amanah menganggotai barisan Jemaah Menteri boleh membawa nafas baharu dengan pendekatan yang lebih segar.

“Saya yakin Datuk Ewon (UPKO), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (GRS) dan Datuk Jamawi Jaafar (PH) boleh menggalas amanah ini. Sesama kita ingatkan diri bahawa setiap parti yang diwakili akan terus berhadapan dengan rakyat, bukan 5 tahun, tapi dalam tempoh setahun dua ini,” nasihat Armizan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akui, memang PRN Sabah ke-17 baru-baru ini amat mencabar.

Katanya, apa yang kita harapkan tidak semestinya kita dapat sepenuhnya, namun rasa syukur mesti ada kerana rakyat menaruh kepercayaan kepada GRS, walau tidak mendapat kemenangan majoriti mudah namun inilah kali pertama logo GRS digunakan dalam pilihan raya negeri.

“Inilah landskap politik baharu di Malaysia yang perlu diterima. Kerjasama politik membentuk kerajaan pasca pilihan raya adalah sesuatu yang perlu diterima dengan lapang dada, apatah lagi di Sabah dengan kepelbagaian parti dan banyaknya calon bertanding bagi setiap DUN.

“Ini tidak bermakna kerjasama ini dibentuk bagi menghadapi pilihan raya akan datang, dan inilah realiti yang berlaku dalam demokrasi di dunia.

“Kerjasama perlu dimeterai untuk membentuk kerajaan pasca pilihan raya untuk mendapat keabsahan pewujudan kerajaan dengan sekurang-kurangnya simple majority. Pada pilihan raya seterusnya gelanggang akan dibuka semula untuk setiap parti bersaing di antara satu sama lain.

“Mandat yang diberikan ini harus diterjemahkan dengan komitmen dan penghasilan.

“Namun apa yang penting adalah kita berupaya membawa progress/penambah baikan yang lebih bernilai dan bermakna,” ujar beliau.

Paling penting katanya, dalam kesibukan urusan harian, setiap perkembangan perlu dimaklumkan kepada rakyat melalui komunikasi strategik.

“Lawan akan tetap mencari salah, namun kita jangan tunggu di saat akhir untuk memaklumkan hasil kerja kita sehingga naratif dikuasai orang lain.

“Tidak boleh hanya mengharap penjawat awam melaksanakan kerja komunikasi, kerana mereka tidak menang tangan dengan kerja-kerja dan fail-fail di atas meja, dan komunikasi bukanlah core business mereka. Peranan ahli politik dalam pentadbiran untuk provide leadership,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat