Kerajaan Negeri diberi kuasa sepenuhnya ambil tindakan penerokaan haram hutan simpan kekal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) memutuskan kerajaan negeri di Semenanjung berkuasa mengambil tindakan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Menurut beliau, penguatkuasaan yang diberikan kepada kerajaan negeri akan berkuat kuasa selewat-lewatnya 1 Jun 2022.

“MTN pada kali ini juga telah bersetuju dengan Tindakan Penguatkuasaan dan Penyelesaian Terhadap Penerokaan Haram dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia dan supaya semua kerajaan negeri melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram di setiap negeri selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022.

“MTN Ke-79 juga telah bersetuju secara prinsip dengan pelaksanaan Moratorium Kelulusan Baharu Penubuhan Ladang Hutan dalam HSK di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelas beliau, MTN Ke-79 telah bersetuju dengan Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 bagi Seksyen 11 dan 12 yang telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 Disember 2020 dan Jemaah Menteri pada 6 Januari 2021.

“MTN juga bersetuju supaya RUU ini dibentangkan di Parlimen pada sesi pertama pada tahun 2022. Dalam konteks ini pemakaian Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 hanya akan terpakai di negeri-negeri setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) meminda Enakmen Perhutanan (Pemakaian) masing-masing,” ujarnya.

Dalam hal ini, Perdana Menteri memberitahu, MTN Ke-79 juga mengambil perhatian bahawa terdapat 127,050.25 hektar Zon Pembangunan Ladang Hutan dalam HSK yang belum diluluskan kepada mana-mana syarikat.

Oleh yang demikian katanya, sebelum moratorium dikenakan ke atas kawasan tersebut, Kerajaan Negeri yang ingin meneruskan pembangunan ladang hutan perlu melaksanakan perundingan secara terperinci dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi memastikan syarikat-syarikat yang akan dilantik mematuhi apa-apa syarat yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi serta lain-lain perundangan yang berkuatkuasa.

Bukan sekadar itu, Ismail Sabri berkata, dalam mesyuarat MTN kali ini juga telah mengesahkan keputusan-keputusan Mesyuarat Majlis Mineral Pertama yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 16 Februari 2021.

“Keputusan-keputusan yang telah dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mineral perlu dibawa untuk persetujuan dan pengesahan MTN bagi membolehkan keputusan-keputusan tersebut dipersetujui dan disahkan khususnyan yang melibatkan aspek perundangan seperti Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara serta enakmen berkaitan di peringkat negeri,” jelas beliau.

Kata Perdana Menteri, dalam mesyuarat kali ini, terdapat empat kertas telah dibentangkan yang menyentuh mengenai beberapa dasar penting berkaitan dengan perhutanan dan perlombongan.

Majlis ini dianggotai oleh 10 wakil Kerajaan Persekutuan yang terdiri daripada Menteri-Menteri Kanan serta Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan yang berkaitan bersama Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri atau wakil.

Mesyuarat MTN ini diadakan selaras dengan Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan iaitu membentuk dari semasa ke semasa, melalui konsultasi (rundingan) dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan Majlis Kewangan Negara, suatu dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh Persekutuan bagi maksud perlombongan, pertanian, perhutanan atau apa-apa maksud lain dan untuk mentadbirkan apa-apa undang-undang mengenainya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat