Beri idea pinda Akta FINAS 1981

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) 1981 dianggap lapuk dan perlu dipinda melalui input penggerak industri kreatif bagi memastikan peruntukan dan peraturan diperkenalkan relevan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata kerajaan sedia meminda Akta FINAS 1981 kepada suatu bentuk definisi undang-undang yang lebih sesuai pada masa sekarang.

Bagaimanapun, Annuar berkata, kerajaan perlu mendapatkan idea dan pandangan penggiat industri kreatif sebelum pindaan dibuat.

“Akta FINAS 1981 perlu diubah suai untuk disesuaikan dengan masa kerana digubal sudah terlalu lama dahulu. Ini hanyalah akta dan kita boleh bawa ke Parlimen untuk diperbaiki.

“Tetapi sebelum pindaan dibuat, kita kena dengar apa yang industri mahukan. Kita kena terbuka untuk menerima pandangan mereka.

“Zaman kerajaan hendak perintah segala-galanya sudah berakhir. Kita kena dapatkan pandangan mereka yang memang terbabit dalam industri serta dengar apa aspirasi mereka.

“Mana-mana idea atau pandangan mereka yang sesuai dan boleh diguna pakai, kita ambil,” katanya pada sidang media Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 di Hotel Royale Chulan The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, kelmarin.

Yang turut hadir Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim serta Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

 

Tengku Khalidah (dari kiri), Dr Md Nasir, Annuar dan Zakaria bersama trofi FFM31 pada sidang media FFM31. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif
Tengku Khalidah (dari kiri), Dr Md Nasir, Annuar dan Zakaria bersama trofi FFM31 pada sidang media FFM31. – Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif

 

Annuar berkata, setakat ini, kementerian sudah mendapat pelbagai input dan cadangan penambaikan Akta FINAS 1981 termasuk isu meletakkan hal ehwal industri muzik Malaysia di bawah FINAS.

“Saya sebagai orang yang mendengar, banyaklah input yang diberi. Misalnya, ada pihak daripada industri muzik tidak mahu mereka diletakkan di bawah FINAS serta hendak mengawal selia secara berasingan.

“Ada juga berpendapat, jika mahu masalah yang membelenggu penggiat industri muzik diselesaikan segera, kenapa tidak digabungkan kerana dua bidang ini saling berkait rapat.

“Tetapi tidak mengapa, kita dengar dulu apa pandangan mereka dan kita selaraskan. Dari situ, barulah kita buat keputusan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar teruja dengan petunjuk prestasi utama (KPI) dicapai kementeriannya selepas 100 hari pentadbiran.

Antara KPI yang dicapai adalah apabila hampir 4,000 syarikat perfileman kembali memulakan aktiviti penggambaran selepas terhenti beberapa bulan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebelum ini, ketika ditanya jangkaan saya berapa banyak syarikat yang kembali aktif memulakan operasi selepas kerja penggambaran dibenarkan, sasaran yang saya beri antara 1,000 hingga 2,000 syarikat.

“Namun, berdasarkan bilangan permohonan lesen termasuk pembaharuan lesen untuk aktiviti penggambaran dan rakaman, angka mencapai 4,000 syarikat.

“Ini adalah lonjakan yang sangat besar dan memberi petanda bahawa industri sudah bersedia untuk bangun semula,” katanya.

Sementara itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menegur sikap segelintir pemain industri baik di depan atau belakang tabir yang tidak peduli penganjuran FFM 31.

 

Antara selebriti yang menghadiri sidang media FFM31 di Hotel Royale Chulan The Curve, kelmarin. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif
Antara selebriti yang menghadiri sidang media FFM31 di Hotel Royale Chulan The Curve, kelmarin. – Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif

 

Tegasnya, mereka sepatutnya memberi sokongan kerana penganjuran acara ini bertujuan untuk meraikan anak seni.

“Saya faham dalam situasi pandemik masa sekarang, mungkin ada yang terlepas pandang disebabkan mereka kembali bekerja.

“Bagaimanapun, kalau dilihat segala publisiti yang dihebahkan di media, mereka sepatutnya lebih peka dengan perkembangan anugerah besar seperti ini.

“Wartawan dan televisyen (TV) memainkan peranan menyebarkan penganjuran FFM31. Tetapi mereka (orang industri) tidak mahu ambil ‘port’ (peduli) apa yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, penggiat seni perlu mengetepikan perbezaan ideologi dan hindari perselisihan faham demi kemajuan industri perfileman tanah air.

Tambahnya, percanggahan pendapat harus diselesaikan secara harmoni sejajar misi kerajaan mempromosi konsep Keluarga Malaysia.

“Kalau dahulu kita asyik baca kontroversi sana sini, sekarang perlu kurangkan konflik. Jika ada idea bagus, individu itu perlu cadang dan bincangkan.

“Tidak perlu masuk media sosial orang itu untuk menghentam sana-sini sedangkan setiap perkara boleh diselesaikan dengan berhemah.

“Lazimnya, dalam dunia sekarang, baik orang politik, artis atau pemain bola sepak perlu kurangkan konflik. Buat apa suka cari gaduh. Sepatutnya kita harus cari titik persamaan.

“Jadi, semua persatuan seni janganlah bercakaran. Saya sebagai bapa atau datuk mahu nasihatkan, kita ceriakan kerjaya kita, tak perlu timbulkan polemik yang tidak baik,” katanya.

FFM31 yang bakal dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 10 Disember depan, mempertaruhkan 55 filem.

Buat pertama kalinya, pemenang Filem Terbaik akan membawa pulang trofi dan Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat