Puluhan Wartawan Antara Lebih 200 Kakitangan The Star Diberhenti Kerja

- Advertisement -

PETALING JAYA: Lebih 200 pekerja termasuk wartawan dan jurugambar akhbar The Star diberhentikan kerja dalam tamparan terbaru kepada industri media tempatan yang semakin merudum.

Menurut sumber, pihak pengurusan akhbar harian memberikan surat pemberhentian kerja kepada hampir 50 wartawan dan petugas lain dari Jabatan Pengarang semalam.

Hampir 200 pekerja dari jabatan lain turut menerima notis pemberhentian kerja. Menurut sumber, pengurusan The Star di jangka menghentikan hampir 150 pekerja lagi awal tahun depan.

Selepas diakui akhbar paling laris sekian lama, The Star akhirnya mengikut langkah pesaingnya seperti Media Prima, melaksanakan pemberhentian kerja pada skala besar untuk memotong kos operasi.

Beberapa kesatuan sekerja mengecam tindakan The Star dan menegaskan pemberhentian kerja itu tidak patut dilakukan tergesa-gesa dan tanpa menerokai pilihan lain.

Kumpulan Star Media yang dikuasai MCA dilaporkan mempunyai aset bernilai RM1 bilion pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beberapa pelaburan oleh gergasi media itu gagal meraih pulangan yang disasarkan selain jualan akhbar merosot secara drastik.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Halim Mansor berkata The Star sepatutnya menimbang pendekatan lain untuk mengurangkan kos dan bukannya memberhentikan pekerja.

Beliau berkata dalam keadaan sekarang, pengurusan akhbar itu sepatutnya menimbang opsyen seperti mengurangkan gaji kakitangan untuk menyelamatkan pekerjaan mereka.

“Semua syarikat mempunyai tanggungjawab terhadap kakitangan mereka, khususnya dalam persekitaran mencabar ketika ini. Mereka (The Star) seharusnya berikhtiar agar kakitangan mengekalkan mata pencarian mereka,” kata beliau.

“Apabila sesebuah syarikat memberhentikan pekerja, ia sebenarnya mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalahnya.

“Kerajaan sepatutnya melarang syarikat memberhentikan pekerja dalam persekitaran yang ada sekarang,” kata beliau.

Halim dukacita dengan tindakan pemberhentian kerja oleh The Star, terutama sekali kesannya ke atas kakitangan berusia “yang tentunya kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan baharu.”

The Star melaksanakan program pemberhentian kerja itu selepas dua Skim Pemisahan Sukarela (VSS) sebelum ini tidak mencapai sasaran pengurangan tenaga kerja.

Dalam suku ketiga tahun ini, Kumpulan Star Media mencatatkan keuntungan bersih RM26.9 juta.

Kumpulan itu mencatatkan hasil pendapatan RM48.2 juta dalam suku ketiga, penambahan 53% berbanding RM31.5 juta yang diraih dalam suku kedua.

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan, Farah Marshita Abdul Fatah, berkata walaupun ekonomi semasa suram, majikan harus menjadikan pemberhentian kerja sebagai pilihan akhir.

“Mereka tidak harus mengambil jalan mudah dengan memberhentikan pekerja.

“Para wartawan sudah pun menanggung kepayahan seperti pemotongan elaun, malah waktu bekerja mereka juga dipendekkan,” kata beliau.

Farah berkata majikan The Star sepatutnya menawarkan kakitangan terbabit untuk bercuti tanpa gaji antara enam bulan hingga setahun dan bukannya diberhentikan terus.

“Masa kini amat mencabar dan sebagai petugas media, kami memberi keutamaan kepada tugasan kami setiap waktu. Namun di waktu susah, lazimnya kami yang dikorbankan dahulu,” kata beliau.

Usaha FMT mendapatkan reaksi Fu Ah Kiow selaku pengerusi The Star, tidak berhasil setakat ini – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat