Bilal Meninggal Semasa Azan Subuh Sering Tersenyum

- Advertisement -

PORT DICKSON – Sentiasa membantu memudahkan urusan penduduk dan sering tersenyum merupakan antara keperibadian bilal Ahmad Bahtim Khalid, 76, yang meninggal dunia ketika azan Subuh berkumandang di masjid berkenaan, pukul 6 pagi tadi.

Ahmad Bahtim merupakan Bilal 2 Masjid Kampung Baru Si Rusa.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kampung Baru Sri Rusa, Mohd. Ghazaly Zakaria, 64, berkata, dia baru empat tahun mengenali arwah, namun hubungan mereka mesra kerana lelaki itu seorang yang ceria serta peramah.

Menurut Mohd. Ghazaly, kebiasaannya arwah akan melaungkan azan, namun pada pagi tadi, lelaki itu tiba lewat sedikit ke masjid berkemungkinan disebabkan hujan.

“Seperti biasa dia membentang dan memperbetulkan sejadah untuk jemaah sebelum tiba-tiba rebah. Semasa itu ada jemaah yang sempat meribakan dan mengajar arwah mengucap dua kalimah syahadah.

“Ketika azan masih berkumandang, dada dia berombak sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Arwah seorang yang baik dan sering tersenyum,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Ghazaly berkata, jasad Ahmad Bahtim kemudiannya diangkat dan diletak di tepi untuk jemaah meneruskan solat Subuh.

“Ahli jawatan kuasa masjid menghubungi ambulans dan pasukan paramedik yang tiba kemudiannya mengesahkan Ahmad Bahtim sudah meninggal dunia.

Sementara itu, anak sulung arwah, Siti Nurbiza, 48, berkata, dia mengetahui kejadian tersebut melalui panggilan telefon dan segera pulang ke kampung dari kediamannya di Subang, Selangor.

“Kali terakhir saya jumpa ayah pada 30 November lalu disebabkan kematian ibu saudara. Walaupun sedih namun hajat saya membawa ayah dan mama (Siti Rokhani Abdul Manan) untuk menunaikan umrah Januari tahun lalu tercapai,” katanya.

Jenazah dimandi dan disolatkan selepas Zuhur di masjid berkenaan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Pinang.-K! ONLINE

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat