Disiplin, bakat kena seiring

- Advertisement -

SEBAGAI pelakon lama disegani, Datuk Fizz Fairuz antara yang harus dijadikan contoh terbaik terutama buat pelakon baharu. Bukan sekadar berbakat, dia terus membuktikan sikap terpujinya sebagai anak seni.

Fizz atau nama sebenarnya, Fairuz Zainal Abidin, 41, bagaimanapun tidak mahu meninggi diri walaupun sudah hampir dua dekad bergelar pelakon. Baginya, seseorang pelakon tidak harus leka dibuai pencapaian diri jika mahu terus bertahan.

Menurutnya, nilai paling penting harus dipegang setiap pelakon sama ada yang lama atau baharu adalah disiplin. Aspek itulah yang membezakan reputasi antara pelakon dan ia perlu dijaga rapi.

“Disiplin dan bakat kena seiring. Kalau tidak, susah. Dalam bidang ini, setiap tahun ada pelapis-pelapis baharu tetapi tidak semestinya mereka dapat menggantikan pelakon lama.

“Pelakon lama tetap ada kelebihan dari segi ilmu yang banyak. Bagi pelakon baharu, mereka perlu terus belajar dan jangan putus asa. Banyak pelakon berpengalaman boleh bantu,” katanya.

Mengimbau permulaan kerjayanya sebagai pelakon, Fizz mengakui dia bertuah dan kerja kerasnya berbaloi.

Katanya, apa yang dicapai sekarang adalah hasil daripada disiplin diri yang diamalkan.

Menurutnya, dia sentiasa sedar bahawa semaju mana pun dirinya, pasti akan ada kekurangannya juga. Lantas, dia mengambil pendekatan untuk fokus kepada menjaga kualiti disiplin.

 

FIZZ melihat tahun 2021 bakal menjadi tahun untuknya kembali menaikkan namanya semula.
FIZZ melihat tahun 2021 bakal menjadi tahun untuknya kembali menaikkan namanya semula.

 

“Dalam bidang ini, satu perkara yang paling penting untuk kita jaga adalah disiplin. Saya bermula dari bawah dan untuk sampai ke tahap sekarang ini, saya akui agak sukar jugalah.

“Oleh itu, sikap beginilah yang harus dijaga baik disiplin, cara mengendalikan karya kita, diri dan nama kita. Boleh sekiranya mahu lakukan perkara yang boleh menjadi tular untuk menaikkan nama, tapi saya mengutamakan untuk menjaga kualiti lakonan. Saya jadikan lakonan itu sebagai medium untuk menutup kekurangan lain yang mungkin orang lain nampak pada diri saya,” katanya.

Namun, Fizz dilihat jarang muncul dalam slot perdana drama di TV dan pastinya ramai tertanya-tanya sama ada Fizz masih aktif atau tidak. Ini kerana sebelum ini wajahnya terus-menerus menghiasi TV dengan pelbagai drama.

Meleraikan persoalan itu, pelakon Nur Kasih ini berkata, dia sebenarnya masih lagi rancak memenuhi tawaran lakonan. Malah, dia melihat tahun 2021 bakal menjadi tahun untuk dia kembali menaikkan namanya semula.

“Saya masih lagi sibuk dengan penggambaran drama, telefilem dan filem. Insya-Allah, saya akan terbabit dan memulakan penggambaran untuk sebuah filem juga tidak lama lagi.

“Ramai yang cakap tahun 2021 adalah era untuk naikkan nama semula. Lihat saja Azwan Ali yang kini namanya semakin naik, kenapa tidak kami yang lama-lama juga buat kemunculan kembali?” katanya.

Fizz yang terbabit dalam drama Sang Pewaris yang kini ditayangkan di slot Lestary TV3 juga teruja untuk melihat reaksi penonton terhadap drama terbaharu lakonannya itu.

Berkongsi mengenai watak Dr Mahfuz yang dijayakannya, Fizz akui watak itu sangat menarik.

“Dr Mahfuz belajar di England dengan dua sahabatnya iaitu Puan Sri Kamariah dan Tan Sri Megat Khairuddin. Dua lelaki berebut satu wanita dan disebabkan tak dapat, timbul sedikit rasa cemburu dan dendam dalam diri Dr Mahfuz.

“Itu saja punca disebabkan kenapa bukan dia yang dapat tawan hati wanita berkenaan. Tapi dalam cerita ini, watak saya baik sangat. Pengakhiran drama ini akan ada kejutan yang menarik, jadi saya tidak mahu cerita lebih-lebih,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat