Bekas AG Tuntut Ganti Rugi RM2.3 Juta, Mahathir Nafi Salah Guna Kuasa Pecat Apandi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendakwa, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai pandangan negatif dan membencinya sehingga mendorong kepada penamatan khidmat beliau sebagai Peguam Negara dengan apa cara sekali pun.

Mohamed Apandi yang menjawab pembelaan Dr Mahathir dalam kes saman difailkan berhubung penamatan khidmatnya, berkata akan mengemukakan bukti bahawa susulan dorongan itu, beliau dibuang secara tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Mohamed Apandi selaku plaintif, memfailkan jawapan terhadap pernyataan pembelaan Dr Mahathir dan kerajaan pada 25 November lalu, melalui firma guaman Tetuan Shukor Baljit & Partners.

Pada 14 Oktober lalu, Mohamed Apandi memfailkan saman terhadap Dr Mahathir dan Kerajaan Malaysia, dengan memohon mahkamah mengisytiharkan pemecatan beliau sebagai Peguam Negara oleh bekas perdana menteri itu, adalah tidak sah.

Dalam penyataan tuntutannya, Mohamed Apandi yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, sebelum dilantik sebagai Peguam Negara pada 2015, antara lain memohon perisytiharan bahawa Dr Mahathir (defendan pertama) menyalahgunakan kedudukannya dan mendorong berlakunya pelanggaran kontrak di antara beliau dan Kerajaan Malaysia.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa wujud kegagalan berhubung pematuhan terhadap Perkara 145, Perlembagaan Persekutuan dalam pemecatannya dan ia tidak mengikut undang-undang.

Sehubungan itu, Mohamed Apandi menuntut ganti rugi khas RM2,233,599.36; ganti rugi am; ganti rugi teladan dan/atau punitif; kos serta relief lain, yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam jawapannya terhadap pernyataan pembelaan Dr Mahathir, Mohamed Apandi juga berkata, jika bukan disebabkan penamatan jawatannya yang bertentangan perlembagaan, kontraknya sebagai pegawai undang-undang pada masa material masih sah dan kekal serta berhak kepada saraan dan faedah.

Katanya, beliau akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan bahawa peranan Yang di-Pertuan Agong tidak diambil kira dan ditimbangkan oleh Dr Mahathir, justeru berlaku kegagalan dalam proses penamatan jawatannya selaku Peguam Negara.

Sementara itu dalam pembelaannya, Dr Mahathir dan kerajaan menafikan terdapat penyalahgunaan kuasa dalam penamatan perkhidmatan Mohamed Apandi.

Dr Mahathir menegaskan yang kontrak Mohamed Apandi sebagai pegawai undang-undang itu, ditamatkan secara sah dan mematuhi peruntukan undang-undang.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 11 Disember ini bagi Mohamed Apandi yang diwakili peguam Datuk Baljit Singh Sidhu memfailkan permohonan mendapatkan beberapa dokumen berkaitan. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat