KUALA LUMPUR – Bekas ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menitipkan pesan buat rakan-rakan seperjuangannya yang dipinggir daripada pencalonan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya tidak tinggalkan perjuangan meskipun diaibkan dan menegaskan berulang kali bahawa tindakan mereka selama ini tidak salah.
Beliau yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu bahkan, menyeru agar pimpinan yang tersingkir supaya tidak curang kepada Umno dan meminta supaya mereka terus berjuang demi kemaslahatan parti.
“Jangan tinggalkan perjuangan walau kita diaibkan.Jangan membakar jambatan kerana jalan masih panjang di hadapan.
“Marah jangan dibalas marah,hutang darah tak perlu dibayar darah.Perjuangan kita lebih besar daripada itu.Baluti luka hati dengan iman dan kesabaran seorang pejuang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Annuar, jelas pembubaran Parlimen yang mahu disegerakan telah diambil kesempatan.
“Kita digugurkan,dengan cara seolah tiada Perlembagaan , tiada peraturan,jauh sama sekali tali persahabatan.
“Saya faham kalian marah dan kecewa dengan cara kalian dilayan.Tapi sabarlah.
“Kita bertindak bukan sendirian,tapi hasil pemikiran mendalam dan telah membuahkan hasil dan kekuatan kepada BN dan kita harus berbangga kerana telah pertahankan kebenaran,” kata beliau.
Ketua Umno Bahagian Ketereh itu mengakui beliau dan rakan-rakannya yang tidak tercalon sedang melalui ujian yang besar.
Justeru Annuar meminta mereka supaya teguhkan pendirian dan mantapkan kekuda perjuangan.
“Penyingkiran kita bukan perkara yang tidak diduga.Kita harus redha,kerana itulah harga untuk kita tegakkan pendirian ketika kita berbeza pendapat dengan Presiden kita (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi).
“Kita ahli-ahli Parlimen istiqamah bersama Perdana Menteri kita (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob),kerana kita yakin itu terbaik bagi parti kita.
“Malah kita sering berbeza pendapat dengan Presiden parti kita.Tetapi kita tidak pernah membelakangkan parti kita.Malah kitalah istiqamah pertahankannya,dalam dan luar Parlimen.
“Kita tentu faham kita menongkah arus,menolak kehendak Presiden kita berkali-kali.Kita gagalkan rancangan beliau,kerana kita merasakan cara kita lebih baik,lebih benar bagi parti kita,” jelasnya.
Annuar malah memberitahu bahawa mereka siang dan malam berkumpul berbincang apabila ada perbezaan pendapat dan mereka sentiasa bersama.
“Ketika Presiden kita menandatangani surat kepada Yang di-Pertuan Agong dengan menyatakan ahli Parlimen bersolidariti,bersetia dan bersetuju Datu Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri ke-9 .Kita denhan tegas menolaknya,kerana kita berpegang pada dasar parti dan Perhimpunan Agung Umno (PAU) yakni “No Anwar, No DAP”.
“Kita tidak salah.Kita berbeza pendirian dengan individu bukan parti.
“Plan mengangkat Anwar yang kita gagalkan itu,berganti pula dengan percubaan menggagalkan Bajet 2020,sebagai strategi vote of no confidence kepada kerajaan dan Perdana Menteri pada ketika itu.Namun kita sekali lagi bersolidariti dan meluluskan setiap pengundian yang mencemaskan di Dewan Rakyat.
“Apabila 15 kawan kawan Ahli Parlimen kita tiba-tiba menarik sokongan dan ingin jatuhkan PM8,dan kita di arah oleh Presiden melalui Setiausaha Agung untuk berbuat yang sama,kita memilih cara yang lain untuk menyelamatkan parti kita,dan sebaliknya kita mengikhtiarkan permuafakatan yang mengangkat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sbg PM9.Kita tidak salah. Kita tentu ingat bagaimana kita berusaha siang dan malam untuk selamatkan parti kita,” ujarnya.
Annuar turut mengimbas banyak lagi peristiwa bagaimana Ahli Parlimen dan Perdana Menteri berperanan dan berusaha untuk membawa Umno, Barisan Nasional (BN) ke mana ia berada hari ini malah mengulangi tindakan itu tidak salah.
“Namun,tindakan kita tentunya tidak disenangi Presiden namun kita yang telah berjaya menyelamatkan parti kita.Saya faham pendirian kita telah membawa kepada fitnah bertubi-tubi kononnya kita tidak setia,kita besar kepala,kita lupa kerana telah dapat jawatan,kita pro Bersatu, pro PAS dan pelbagai cercaan lain.
“Sedih,pilu bila humbanan tuduhan menjadi semacam satu ejekan.Namun kita harus redha.Kita tidak salah.
“Pernahkah kita bayang di mana parti kita hari ini,kalau kita telah memusuhi parti-parti yang pernah menghulur tangan membantu kita? Di mana kita jika warkah kepada Agong supaya angkat Anwar jadi PM, kita iya kan?Apa dah jadi pada parti kita jika kerajaan terbubar saat Covid-19 masih melanda dan rakyat marah kepada politicking berterusan?..fikir fikirkan,” kata beliau.
Annuar yang juga Presiden Muafakat Nasional (MN) menyatakan beliau dan rakan-rakannya adalah ahli-ahli Parlimen yang beristiqamah bersama Perdana Menteri dan wakil rakyat lain yang menyokong kerajaan, menjaga permuafakatan ketika api kebencian terus dinyalakan.
“Kita lakukan demi menjaga kesejahteraan parti kita. Alhamdulillah kita berjaya,dan kejayaan menjadikan parti kita turut berkuasa dalam pemerintahan.
“Ini tidak di senangi oleh sebilangan orang,mungkin yg mula memikirkan pemilihan tahun depan,yang memikirkan kedudukan
“Kembalilah memimpin anak dan adik-adik kita yang bertatih.Pulihkan jentera yanh berduka.Jika tidak berupaya memenangkan,setidak- tidaknya jangan mengalahkan.Parti perlu di dahulukan,” seru beliau lagi.
Tambah Annuar, beliau meminta rakan-rakan yang senasib dengannya teruskan semangat muafakat dan perpaduan.
“Tolak keangkuhan dan kesombongan, jangan jadikan parti perisai badan melindungi kecurangan. Jangan sia-siakan amanah rakyat dan curang.
Terima seadanya soal pencalonan dengan kesabaran.Rapatkan semula saf,terus berjuang,” katanya.