Elak Unsur Sabotaj, Bantu Jentera BN Pastikan Menang Selesa – Ahmad Said

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan mana-mana pemimpin gabungan politik itu yang tidak terpilih sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya mengelakkan unsur mensabotaj parti sendiri.

Bakal calon BN bagi Parlimen Kemaman itu berkata inilah waktu terbaik untuk menguji kesetiaan ahli dan mengharapkan solidariti daripada semua jentera parti bagi memastikan kemenangan selesa calon BN yang bertanding.

“Walaupun saya sedar ada yang tidak puas hati dan sebagainya (tidak tercalon) tapi apa boleh buat, itu sudah ‘jodoh’ yang telah ditentukan, mungkin hari ini pilih kita, esok (kemudian hari) kita tak tahu lagi.

“Kita juga ada senarai calon termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN), tapi DUN tiada pilihan raya (lagi)… jadi mereka yang telah disenarai pendek itu bantulah bekerja untuk parti, peluang masih ada enam hingga tujuh bulan lagi, kita pantau, politik bukan merajuk tapi mesti bersikap rasional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis serahan watikah lantikan kepada bakal calon BN di Bangunan UMNO Negeri di sini hari ini.

Ahli DUN (ADUN) Kijal itu berkata mana-mana ahli atau pemimpin yang didapati melakukan sabotaj boleh dikenakan tindakan disiplin mengikut perlembagaan parti termasuk digugurkan keahlian.

Mengenai peluang di Terengganu, Ahmad berkata beliau telah memberikan perakuan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa sekurang-kurang empat kerusi Parlimen adalah milik BN.

“Insya-Allah, empat Parlimen itu dalam genggaman kita kerana kita tahu Parlimen Besut kubu kuat UMNO dari dulu lagi sejak Tan Sri Idris Jusoh bertanding, tiada masalah… begitu juga Setiu, kubu kita tapi disebabkan berlaku masalah dalaman, calon kita kalah pada PRU lepas.

“Di Parlimen Hulu Terengganu pula kerana lompat parti dan Kemaman juga kerana ketidakpuasan ahli kepada calon,” katanya.

Mengenai spekulasi siapa calon BN di Parlimen Kuala Nerus yang masih belum diumumkan sehingga hari ini, Ahmad berkata perkara itu akan diketahui selewat-lewatnya petang ini.

Pada PRU14, BN Terengganu hanya mampu mempertahan dua kerusi Parlimen iaitu Besut dan Hulu Terengganu manakala tewas di enam lagi kawasan yang ditandingi.

Penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid kemudian ‘berpindah’ ke Bersatu selepas beliau mengisytiharkan keluar UMNO pada Disember 2018. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat