KUALA LUMPUR – “Jika itu yang diputuskan PAS, kami dalam UMNO menghormatinya,” kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut beliau UMNO menghormati keputusan PAS memilih logo Perikatan Nasional (PN) untuk dipakai pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Pun begitu, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO bagi PRN Melaka itu menegaskan bahawa pakatan Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan PAS kekal utuh meskipun dengan pendirian baru parti Islam itu.

Memetik laporan The Star, Mohamad menyatakan dengan jelas pendiriannya menentang bekerjasama dengan PN yang diterajui Bersatu.

Walaupun berpihak kepada PN kali ini, seorang pemimpin kanan PAS semalam mencadangkan cara untuk parti mereka bekerjasama dengan UMNO dan Bersatu.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad juga berkata Umno tidak akan memutuskan hubungan dengan PAS berhubung keputusan itu.

“UMNO tidak akan memutuskan hubungan dengan PAS.

“Mungkin kita tidak tahu mengapa ia memutuskan untuk mengambil langkah itu (menggunakan logo PN) tetapi kita percaya semua ahli PAS juga berharap untuk mencari titik pertemuan yang baik antara PAS dan Umno dalam memastikan kesejahteraan umat Islam, khususnya orang Melayu di negara ini,” katanya memetik Bernama.

Mohamad Ali juga seorang senator dan timbalan presiden Dewan Negara.