PAS tak ketepikan UMNO meski pilih bersama PN- Mursyidul Am PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – PAS tidak membelakangkan UMNO meskipun memilih bersama Perikatan Nasional (PN) termasuk menggunakan logo gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” kata Mursyidul Amnya, Datuk Hashim Jasin.

Kata beliau, keputusan PAS untuk bersama PN termasuk menggunakan lambangnya namun, tidak bermakna parti itu membelakangkan UMNO dalam kerjasama politik.

Hashim berkata PAS berpendapat keputusan itu adalah jalan terbaik pada masa ini bagi menghadapi PRN Melaka dan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Memetik BH beliau berkata, sebagai manusia, kepemimpinan PAS hanya mampu berusaha dan menyerahkan kepada Allah SWT untuk menentukan hasil keputusan itu.

“Dalam konteks politik hari ini, nampaknya UMNO dengan cara UMNO, BERSATU cara BERSATU. Jadi kita melihat dari sudut kita bersama PN tanpa membelakangkan UMNO.

“Itulah jalan terbaik setakat ini yang boleh kita ikuti terutama ujian (PRN) di Melaka dan juga PRU-15,” katanya.

Isnin lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat memutuskan untuk menggunakan lambang PN di Melaka dengan mengambil kira pandangan Majlis Syura Ulama.

Media melaporkan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menghormati keputusan PAS memilih lambang PN dan beliau juga dipetik berkata, Muafakat Nasional (MN) kekal utuh meskipun dengan keputusan terbaru itu.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek, dilaporkan berkata, pihaknya akur dengan penggunaan lambang PN namun bersedia untuk menarik diri jika pertandingan di satu-satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berlaku pertembungan sesama sendiri dengan UMNO.

Sementara itu, Hashim berharap keputusan untuk tidak bertanding di kerusi DUN disandang UMNO dapat membangkitkan kesedaran dalam kalangan kepemimpinan parti itu mengenai hala tuju politik PAS.

Katanya, apabila hala tuju PAS difahami, kepemimpinan UMNO akan lebih mudah berlapang dada dengan keputusan besar yang perlu dibuat pada PRU-15.

“Apabila kita tak bertanding di kawasan UMNO menang sebelum ini, maka itu bererti matlamat kita bukan nak rebut kerusi itu, tetapi (demi) matlamat yang lebih besar perpaduan ummah.

“Supaya dengan cara kita bersikap demikian, kesedaran akan timbul dalam kalangan sahabat kita daripada UMNO, ke mana hala tuju yang PAS nak bawa.

“Mungkin satu hari nanti, mereka akan berlapang dada dengan tindakan yang mungkin lebih besar kita terpaksa hadapi pada PRU-15,” katanya.

Hashim juga mengakui keputusan PAS untuk bersama PN tanpa membelakangkan UMNO bukannya mudah dicapai kerana terdapat banyak halangan perlu ditempuhi.

Bagaimanapun, katanya, demi perpaduan ummah yang juga perintah Allah SWT dan sangat diperlukan dalam landskap politik semasa negara, PAS bersedia untuk menempuh halangan itu dan sanggup juga berkorban kerananya.

“Berkorban apa yang boleh kita korbankan dan kita akan pertahankan di mana yang boleh untuk mencapai matlamat besar kita iaitu perpaduan ummah.

“Kerana bagi kami, perpaduan ummah ini bukan kehendak PAS, bukan kehendak sesiapa tetapi adalah perintah dari Allah SWT dalam al-Quran supaya kita bersatu, jadi kita wajib buat itu,” katanya.

Beliau dalam pada itu memuji PAS Melaka kerana mematuhi segala keputusan yang dibuat kepemimpinan peringkat Pusat berhubung formula tidak bertanding di kerusi yang disandang UMNO yang juga sekutu dalam MN.

“Ia adalah hasil tarbiah PAS yang memberi penekanan khusus terhadap prinsip wala’ (patuh) kepada kepemimpinan sejak sekian lama,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat