Najib boleh hadir sidang Parlimen jika Jabatan Penjara benarkan, kata Azhar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak boleh menghadiri persidangan Dewan Rakyat jika mendapat kebenaran Jabatan Penjara, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Harun.

Azhar berkata demikian ketika menjawap soalan Hanipa Maidin (PH -Sepang) yang bertanya sama ada bekas perdana menteri yang telah disabitkan kesalahan itu boleh dibawa ke Parlimen dalam keadaan bergari untuk “dilihat oleh semua”.

Selain itu, Azhar berkata prinsip umum ialah semua ahli Parlimen dibenarkan memasuki Dewan Rakyat dan dia tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mereka.

“Tetapi persoalannya sekarang adakah dia boleh hadir. Itu bukan bidang kuasa saya, kerana dia bukan dalam jagaan saya.

“Dia dalam tahanan Jabatan Penjara, jadi terpulang kepada mereka untuk melepaskannya daripada tahanan mereka,” katanya.

Tambahnya, jika jabatan itu membenarkannya keluar dari penjara untuk menghadiri Parlimen, jabatan itu boleh menetapkan syarat dan peraturan untuk dipatuhi.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya dalam kes penyelewengan dana SRC International.

Dia dibenarkan keluar dari penjara adalah untuk menghadiri kes mahkamah jenayah lain yang dihadapinya, dan ketika mendapatkan rawatan perubatan.

Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) kemudian menyoal mengapa status Najib sebagai ahli parlimen tidak terbatal susulan sabitan kesalahan.

Azhar menjawab: “Hukum sebagaimana adanya, bukan sebagaimana semestinya, dan tidak pula sebagaimana ia sepatutnya”.

Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang itu boleh hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun, dan denda lebih RM2,000.

Bagaimanapun, jika petisyen untuk pengampunan difailkan dalam tempoh 14 hari dari sabitan dan hukuman, atau selepas pelupusan mana-mana rayuan atau prosiding mahkamah berhubung sabitan dan hukuman, kehilangan kelayakan itu hanya berkuat kuasa apabila petisyen itu dilupuskan, di bawah Perkara 48(4)(c).

Najib telah memfailkan pengampunan diraja dalam tempoh 14 hari selepas sabitannya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat