JDT Juara Liga Super Tujuh Tahun Berturut-turut

- Advertisement -

ISKANDAR PUTERI – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan statusnya selaku kelab bola sepak gergasi apabila dinobatkan sebagai juara Liga Super musim ini selepas menundukkan Sabah 4-1 sebentar tadi.

Lebih menarik, skuad Harimau Selatan itu turut mencipta sejarah baharu dengan menjulang piala berkenaan buat kali ketujuh berturut-turut sejak 2014.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi menyaksikan skuad bimbingan Benjamin Mora itu tidak berhadapan masalah menerima kunjungan The Rhinos.

Perlawanan liga terakhir JDT selaku tuan rumah itu bermula perlahan dimana Harimau Selatan perlu menunggu sehingga minit ke-38 untuk mendapatkan jaringan pembukaan menerusi percubaan Diogo Santo.

Ayam tambatan JDT, Safawi Rasid menggandakan jaringan tuan rumah pada minit ke-56.

Sambutan tuan rumah hampir diragut apabila percubaan Dennis Buschening pada minit ke-74 daripada luar kotak penalti berjaya menewaskan Farizal Marlias, menjadikan kedudukan 2-1.

Safawi sekali lagi menggegarkan gawang pasukan pelawat apabila bijak memanfaatkan kecuaian penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Melengkapkan malam cemerlang JDT, tuan rumah sekali lagi menambah jaringan pada minit ke-84 hasil sepakan percuma Leandro Velasquez menjadikan kedudukan 4-1.

Sementara itu, majlis sambutan kejuaraan Liga Super musim ini turut diadakan dengan kelainan bersesuaian dengan pandemik Covid-19 ketika ini.

Dalam sambutan kejuaraan Liga Super norma baharu ini, pemain dan barisan kejurulatihan mengambil sendiri pingat masing-masing sebelum Kapten JDT, Hariss Harun menjulang piala diiringi sorakan rakan sepasukannya.

Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia, Datuk Ghani Ab Hassan.

Terdahulu, sebelum perlawanan bermula, Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan anugerah Penjaring Terbanyak Sepanjang Zaman JDT kepada Gonzalo Cabrera yang mencetak sejumlah 57 gol.

Penyerang import dari Argentina itu diberi anugerah tersebut setelah mengatasi jaringan gol dicatat pemegang rekod sebelum ini iaitu Safiq Rahim dengan 56 gol.

Turut diadakan program ‘in car viewing party’ yang membenarkan sehingga 1,500 kenderaan dinaiki penyokong skuad Harimau Selatan ‘melibatkan’ diri dengan sambutan malam bersejarah itu.

Penyokong setia JDT itu menyaksikan perlawanan secara langsung menerusi lima skrin layar gergasi yang disediakan di tapak letak kenderaan terbuka sekitar stadium berkenaan. – K! ONLINE

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat