317 Kes Baru Covid Termasuk 155 Kes Di Sabah & 97 Kluster Penjara Di Kedah

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Jumlah kes positif harian COVID-19 sekali lagi merekodkan angka tertinggi sejak virus itu menular dalam negara dengan 317 kes hari ini.

Ia hari kedua berturut-turut selepas kali terakhir jumlah kes positif harian tertinggi dicatatkan semalam dengan 287 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes baharu hari ini menjadikan jumlah kes positif wabak itu di Malaysia meningkat kepada 12,088 kes.

“Semua kes baharu direkodkan hari ini membabitkan penularan dalam negara meliputi 303 kes rakyat tempatan dan 14 kes bukan warganegara.

“Daripada 317 kes itu, sebanyak 37 kes adalah pengunjung yang pulang dari Sabah. Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu adalah sebanyak 176 kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ketika ini pula adalah 1,735 kes dan semuanya kini diasingkan serta diberi rawatan,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) merekodkan satu kes kematian hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan angka korban meningkat kepada 137 kes atau 1.13 peratus.

Katanya, kes kematian ke-137, iaitu kes ke-10,939 membabitkan lelaki tempatan berusia 57 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia atau peningkatan kadar lemak dalam darah secara luar biasa.

“Kes mula mengalami gejala batuk, kurang selera makan dan demam sejak 10 September lalu. Pada 24 September, kes mengalami sesak nafas dan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Semporna yang kemudian dirujuk ke Hospital Tawau pada hari sama.

“Kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan. Saringan COVID-19 dikesan positif pada 28 September lalu. Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia semalam pada jam 11.44 malam,” katanya sambil mengucapkan takziah kepada ahli keluarga.

Mengulas lanjut perincian kes harian, katanya 155 kes direkodkan di Sabah hari ini dengan 100 kes saringan bergejala membabitkan 96 warganegara dan empat bukan warganegara.

Katanya, ia membabitkan Kluster Bangau-Bangau (35 kes), Kluster Benteng Lahad Datu (10 kes), Kluster Laut (tiga kes), Kluster Joo Hwa (dua kes) dan satu kes daripada Kluster Buang Sayang.

“Untuk kes di Kedah pula, daripada 102 kes direkodkan sebanyak 97 dikesan daripada Kluster Tembok dan dua kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi di Sabah. Turut dikesan dua kes membabitkan Kluster Bah Lunas dan satu daripada Kluster Bah Ketil.

“Di Selangor, 32 kes direkodkan dengan 15 kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi di Sabah dan 12 kes daripada Kluster Jalan Meru. Kluster Jelok pula merekodkan tiga kes dan dua lagi kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 iaitu kes ke-11,147 dan kes ke-11,047 yang semuanya membabitkan warganegara.

“Negeri lain yang turut merekodkan kes positif iaitu Terengganu (sembilan kes), Kuala Lumpur (empat kes), Johor (empat kes), masing-masing tiga kes di Sarawak dan Pulau Pinang, masing-masing dua kes di Kelantan dan Putrajaya serta satu kes di Negeri Sembilan,” katanya.

Dr Noor Hisham, berkata 29 kes positif COVID-19 kini dirawat di ICU dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat