Aset wakaf terbiar di Jonker Walk, Majlis Agama tawar insentif kepada peniaga berminat

MELAKA — Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menawarkan pelbagai insentif termasuk pengecualian dan pengurangan sewa bagi menarik usahawan memulihkan serta mengusahakan tujuh premis wakaf warisan yang masih kosong di Jonker Walk.

Langkah strategik itu menggunakan pendekatan pemulihan secara kerjasama dengan penyewa memandangkan bangunan yang disenaraikan sebagai warisan berkenaan memerlukan kerja pemuliharaan mengikut syarat ketat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, daripada 32 premis wakaf di lokasi pelancongan ikonik itu, sebanyak 25 berjaya disewakan manakala tujuh lagi sedia untuk dihidupkan semula.

Sebagai langkah awal, lima daripada tujuh premis yang mengalami kerosakan teruk di Jalan Hang Kasturi dan Jalan Kuli telah dibersihkan sejak pertengahan bulan lalu dengan kos RM42,000.

Kerja itu meliputi penebangan pokok, kawalan serangga perosak dan pembersihan kawasan.

“Bagi premis yang uzur dan berisiko, kita memasang penghadang keselamatan bagi menjamin keselamatan pengunjung.

“Pada masa sama, struktur yang rosak turut ditandakan bagi membantu bakal penyewa merancang kerja pembaikan,” katanya selepas meninjau premis berkenaan hari ini.

Menurut Shaifulfazlee, MAIM bersedia menawarkan pengaturan sewaan fleksibel bagi membantu penyewa menguruskan kos pelaburan awal untuk memulihkan premis berkenaan.

Antara insentif yang dirancang ialah pengecualian sewa selama tiga hingga enam bulan, pengurangan kadar sewa sehingga tiga tahun sepanjang tempoh pulangan pelaburan serta kontrak sewaan jangka panjang yang lebih munasabah.

Kadar sewa asas bagi tujuh premis itu dinilai mengikut piawaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dengan kadar kompetitif antara RM700 hingga RM2,600 sebulan.

Setakat ini, MAIM menerima tiga cadangan perniagaan daripada pihak berminat dan sedang menilai kemampuan kewangan serta kemampanan perniagaan mereka sebelum kelulusan diberikan.

“Tiada sekatan untuk menjadikan premis itu sebagai galeri, pejabat, ruang niaga atau penginapan berkonsepkan tertentu, asalkan perniagaan berkenaan mematuhi kehendak syariah,” katanya.

Usahawan yang berminat boleh menghubungi Bahagian Pembangunan Hartanah MAIM menerusi Unit Sewaan.

Shaifulfazlee berkata, kutipan sewa daripada 25 premis yang diduduki disalurkan sepenuhnya bagi menyokong ekosistem dan pengurusan Masjid Kampung Hulu serta Masjid Kampung Kling.

Ia termasuk pembayaran imbuhan kakitangan, penganjuran program keagamaan dan penyelenggaraan bangunan.

“Aset ini merupakan harta wakaf kekal yang tidak boleh dijual. Kehadiran penyewa baharu bukan sahaja dapat menjana dana untuk kebajikan berkaitan masjid, malah membantu memelihara seni bina warisan Melaka dan merancakkan lagi sektor pelancongan di Jonker Walk,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat