KUALA LUMPUR, — Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menggesa kerajaan, pemain industri kreatif dan pengendali platform penstriman over-the-top (OTT) mengadakan dialog bagi membentuk garis panduan kandungan digital yang lebih jelas susulan kontroversi drama Madu atau Racun.
Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, PTVM menghormati pendirian kerajaan dalam memastikan kandungan yang disajikan kepada masyarakat mengambil kira sensitiviti agama, budaya, nilai masyarakat dan keharmonian negara.
Bagaimanapun, beliau berkata kontroversi membabitkan drama yang disiarkan menerusi platform iQIYI itu seharusnya dijadikan peluang untuk semua pihak duduk semeja bagi membentuk ekosistem kandungan yang lebih bertanggungjawab, progresif dan mempunyai garis panduan jelas.
“Perubahan landskap penyiaran hari ini berlaku dengan sangat pantas. Kandungan tidak lagi hanya disampaikan melalui televisyen dan pawagam, tetapi berkembang menerusi OTT, media sosial serta pelbagai platform digital yang merentasi sempadan negara.
“Justeru, pendekatan terhadap industri juga perlu berkembang seiring perubahan teknologi dan corak tontonan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Jurey, kebebasan berkarya perlu hadir bersama tanggungjawab, namun tanggungjawab itu perlu dibina berasaskan kefahaman bersama, garis panduan jelas serta komunikasi berterusan antara kerajaan, agensi pengawal selia, platform dan penggiat industri.
Beliau berkata, kerajaan dan industri tidak seharusnya hanya duduk semeja selepas sesuatu karya mencetuskan kontroversi.
Sebaliknya, dialog perlu dilakukan secara berterusan supaya penggiat industri memahami batas sensitiviti negara, manakala kerajaan pula mempunyai pemahaman mengenai realiti, perkembangan dan cabaran dunia kandungan yang semakin kompleks.
Sehubungan itu, PTVM mencadangkan Kementerian Komunikasi bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), wakil platform OTT serta persatuan industri mengadakan Sesi Libat Urus Industri Kandungan Digital dan OTT dalam masa terdekat.
Menurutnya, sesi itu bukan bertujuan menyekat kreativiti, sebaliknya mencari keseimbangan antara kebebasan berkarya, kepentingan komersial, perkembangan industri dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Kita juga perlu mengelakkan keadaan di mana setiap kali berlaku kontroversi, kerajaan menyalahkan industri, industri menyalahkan platform dan platform pula mempunyai tafsiran tersendiri terhadap garis panduan.
“Industri kandungan Malaysia memerlukan satu ekosistem yang dibina atas kerjasama dan kepercayaan, bukan sekadar tindakan selepas sesuatu isu menjadi panas,” katanya.
Jurey berkata, PTVM bersedia menjadi jambatan antara kerajaan, syarikat penerbitan, pengkarya dan platform dalam usaha membentuk kerangka industri kandungan Malaysia yang lebih bertanggungjawab serta mampu berkembang dalam pasaran digital dan antarabangsa.
Katanya, industri kreatif negara perlu terus diberi ruang untuk berkembang dan berani berkarya, namun pada masa sama memahami tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.
“Isu Madu atau Racun sewajarnya menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara kerajaan dan industri — bukan sekadar satu lagi kontroversi yang akan dilupakan apabila polemik reda,” katanya.



