KUALA LUMPUR — Pengarah Eksekutif MANDIRI, Amir Hadi mendakwa beliau telah dikenakan sekatan daripada keluar negara tanpa diberikan sebarang penjelasan mengenai sebab tindakan berkenaan.
Amir berkata, beliau baru dimaklumkan mengenai sekatan itu dan akan menghubungi pihak Bukit Aman bagi mendapatkan penjelasan, selain mengetahui proses yang perlu dilakukan untuk membolehkan sekatan tersebut ditarik balik.
“Saya baru dimaklumkan bahawa saya telah dikenakan sekatan dari keluar negara.
“Saya tidak pasti alasan sekatan ini, dan dalam tempoh ini, akan berhubung dengan pihak Bukit Aman bagi mendapatkan penjelasan dan proses bagi mengangkat semula sekatan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Amir menegaskan beliau dan MANDIRI bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang siasatan yang sedang dijalankan.
“Sekiranya terdapat sebarang siasatan yang sedang berjalan ke atas saya, atau kepada MANDIRI, kami sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tindakan mengenakan sekatan perjalanan tanpa sebarang penjelasan.
“Sekatan tanpa sebarang penjelasan sebegini tidak mencerminkan sebuah negara demokrasi. Kebebasan bergerak adalah hak asasi setiap rakyat,” katanya.
MANDIRI merupakan organisasi masyarakat sivil dipacu golongan muda yang ditubuhkan pada Mei 2024 oleh Amir bersama Mohamad Alshatry dan Dobby Chew.
Pertubuhan itu memberi tumpuan antaranya kepada pendidikan politik, pembangunan kepimpinan belia, pengorganisasian akar umbi dan penyertaan demokratik, selain menjalankan program serta advokasi berkaitan keadilan sosial dan hak asasi.
Pada Mei lalu, MANDIRI menjadi perhatian susulan dakwaan berkaitan penerimaan dana asing yang dibangkitkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.
MANDIRI menafikan sebarang salah laku dan ketika itu turut menyatakan kesediaan memberikan kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap pertubuhan berkenaan.
Pertubuhan itu kemudiannya mengambil tindakan undang-undang terhadap Muhammad Kamil berhubung kenyataan berkenaan.
Setakat ini, belum diketahui sama ada sekatan perjalanan yang didakwa dikenakan terhadap Amir mempunyai kaitan dengan isu tersebut.
Tiada kenyataan rasmi daripada pihak polis atau pihak berkuasa berkaitan mengenai alasan sekatan itu setakat berita ini ditulis.


