KUALA LUMPUR – Jika Pas berjaya mengurangkan imej membolot agama, eksklusif dan meminggirkan rakyat dan mula fokus pada integriti dan solusi atau penyelesaian masalah rakyat berbilang bangsa tidak mustahil sokongan Cina dan India akan mula menggalir dan boleh meningkat kepada Perikatan Nasional (PN).
Kata bekas Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker walaupun tidaklah secara mendadak kerana masyarakat Cina dan India sudah kehilangan payung dan teduh Barisan Nasional (BN) selama ini bahkan ujarnya, mereka pun sudah hampa dan “goyang” terhadap dasar dan pergerakkan Madani yang jauh daripada janji-janji reformasi sebelum ini.
Beliau memberitahu, kelembutan Pas tidak bermakna mereka sudah tinggalkan prinsip Islam, tetapi cuma ubah gaya persembahan dan strategi politik untuk merangkumi dan memenuhi kehendak bangsa dan negara secara menyeluruh.
“Sebenarnya Islam penuh rahmat dan keadilan untuk semua kaum tetapi apabila dipolitikkan, ia memberi gambaran negatif dan sebaliknya,” tegas Lian Ker.
Dalam hantaran terbarunya bekas pimpinan MCA itu mengemukakan senarai panduan untuk Pas tarik undi Cina dan India, dengan kata lain menukar persepsi bukan beerti menukar prinsip.
“Pas perlu menampilkan wajah Islam yang adil, rahmah dan lebih terbuka dan bukannya wajah keras dan dogmatik. Wajah Pas yang keras dengan isu budaya atau agama lain perlu diubah.
“Setiap kali Pas gagal mengamalkan nilai-nilai Islam yang lembut, bertolak ansur dan akomodatif membawa wajah “hodoh” Pas yang kelihatan cepat menghukum, ganas atau menolak kepelbagaian. Ini semestinya menakutkan pengundi bukan Melayu yang akan menjauhkan diri dan memulau mereka yang mendampingi Pas,” katanya.
Justeru beliau menggesa Pas fokus kepada masalah harian rakyat, bukan retorik agama hal katanya, ramai pendakwah yang telah mengislamkan mualaf bukanlah melalui dakwah hukum-hakam Islam tetapi melalui timbang rasa, keprihatinan dan kebajikan yang diberi.
“Retorik politik seperti “ketuanan Melayu” dan “politik Islam” berwajah keras dan menakutkan. Cina dan India menilai parti berdasarkan penyelesaian isu ekonomi, pendidikan, kos sara hidup dan peluang pekerjaan yang telah diamalkan oleh Barisan Nasional (BN) dahulunya sehinggalah Umno mula menunjukkan “taring ketuanan” dan kerajusan kuasa untuk membolot kekayaan.
“Jadikan PAS sinonim dengan satu parti yang beramal dan memberi penyelesaian praktikal pada bangsa dan negara dan bukannya sekadar retorik moral atau menjadi “moral police”.
“Tonjolkan integriti , timbang rasa dan parti yang bencikan rasuah (bukankah ini ajaran Islam yang sebenar?) Pas mempunyai kekuatan dan “advantage” imej “bersih” , lembut dan suci yang boleh dipasarkan kepada masyarakat bukan Islam yang sudah jelak , jemu dan “fed-up” dengan politik dan retorik kosong dan penuh dengan penipuan dan “ opportunistic”.
“Jika konsisten melawan rasuah dan menegakkan keadilan dan kebenaran, Pas akhirnya akan lebih mudah diterima masyarakat bukan Melayu yang menolak kronisme dan salah guna kuasa yang mereka sudah muak dan cemuh.
“Selain itu, dekati komuniti Cina dan India secara ikhlas dan bukan sekadar politik – bukan sekadar hadir masa pilihan raya. Sertai aktiviti kebudayaan, ziarah rumah ibadat, duduk semeja dalam forum masyarakat majmuk.
“Wujudkan kepimpinan Cina dan India dalam Pas supaya mereka tidak rasa hanya sebagai pelengkap, patung atau “window dressing” semata-mata.
“Juga hormati pendidikan dan kebudayaan masyarakat bukan Islam atas semangat tolak-ansur -Nyatakan sokongan terbuka terhadap SJKC dan SJKT, serta kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam perlembagaan,” kata beliau.
Tambah Lian Ker lagi, Pas perlu memberi jaminan bahawa hak pendidikan dan budaya bukan Melayu yang sedia ada , akan terus dilindungi seperti dalam Perlembagaan apabila ada golongan dalam Umno yang cuba menghapuskan atau menutup sekolah-sekolah sedemikian.
“Naratif politik yang lebih universal, inklusif dan akomodatif dan bukannya “dogmatik” dan menakutkan.
“Pas harus bercakap sebagai parti untuk semua rakyat, bukan hanya untuk Melayu-Muslim.
“Guna slogan yang mengangkat kesejahteraan rakyat: keadilan ekonomi, kebajikan , penyediaan rumah mampu milik, pemwujudan peluang perniagaan,pengukuhan pendidikan berkualiti untuk semua bangsa dan sebagai dan bukan terperangkap dengan ungkapan , seruan dan laungan yang sedapa didengar oleh penyokong sahaja,” katanya.



