Trump cadang ‘bersihkan’ Palestin dan bangunkan pelan Gaza Riviera

WASHINGTON – Pelan Amerika Syarikat (AS) untuk memba­ngunkan ‘Gaza Riviera’ sebagai rangkaian bandar mega berteknologi tinggi dikecam sebagai cubaan tidak masuk akal untuk menutup usaha pembersihan etnik secara besar-besaran terhadap penduduk Palestin di wilayah terkepung itu.

Pakar politik Asia Barat turut khuatir Gaza akan menerima nasib serupa dengan Iraq dan Libya yang terus bergelut dengan ketidakstabilan politik serta ekonomi selepas menerima campur tangan AS di negara itu.

Pada Ahad, The Washington Post mendedahkan dokumen berhubung pelan tersebut, yang akan melibatkan pemindahan paksa seluruh populasi Gaza seramai dua juta orang dan menempatkan wilayah itu di bawah pentadbiran amanah antarabangsa dikendalikan AS sekurang-kurangnya selama sedekad.

Cadangan dinamakan Great Trust itu didakwa dibangunkan oleh beberapa individu Israel yang sebelum ini turut mencetuskan penubuhan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang disokong AS dan Israel, dengan perancangan kewangan disumbang oleh Boston Consulting Group.

Paling kontroversi, pelan setebal 38 halaman itu mencadangkan pemindahan sementara kesemua penduduk Gaza berjumlah lebih dua juta orang, langkah yang turut berpotensi mengundang tindakan genosid.

Penduduk Palestin akan digalakkan untuk berpindah secara sukarela ke negara lain atau ke zon-zon khas yang dikawal sepanjang tempoh pembinaan semula.

Pemilik tanah pula ditawarkan ‘token digital’ oleh pihak amanah sebagai ganti kepada hak pemilikan mereka untuk digunakan bagi membiayai kehidupan baharu di tempat lain.

Bagi mereka yang kekal, kediaman yang disediakan hanyalah seluas kira-kira 30 meter persegi, lebih sempit daripada kebanyakan kediaman penduduk marhaen di Gaza.

Tidak jelas sama ada pelan ini mencerminkan dasar rasmi AS kerana Rumah Putih mahupun Jabatan Negara masih enggan memberi sebarang komen berhubung rancangan itu.

Namun, dokumen yang didedahkan itu seolah-olah selari dengan kenyataan Presiden AS, Donald Trump sebelum ini yang mahu membersihkan Gaza dan membangunkannya semula.

Pemindahan paksa bertopengkan pembangunan

Antara pengkritik cadangan itu ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan Hak Asasi Trial International berpangkalan di Switzerland, Philip Grant yang menyifatkan pelan itu sebagai rangka pemindahan beramai-ramai yang dipasarkan sebagai pembangunan.

“Ini adalah pelan induk bagi pemindahan beramai-ramai yang cuba dijual sebagai pembangunan. Hasilnya? Satu contoh klasik jenayah antarabangsa pada skala yang tidak terbayang melibatkan pemindahan paksa penduduk, kejuruteraan demografi dan hukuman kolektif,” kata Grant.

Trial International merupakan satu daripada 15 kumpulan yang sebelum ini memberi amaran kontraktor swasta yang beroperasi di Gaza dengan kerjasama Israel berisiko membantu dan turut bersubahat dalam siri jenayah di bawah undang-undang antarabangsa terhadap penduduk Palestin.

Ia termasuk jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan atau pembunuhan beramai-ramai yang boleh dipertanggungjawabkan di bawah pelbagai bidang kuasa undang-undang baik di luar mahupun dalam negara.

“Pihak yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan pelan ini termasuk pihak korporat boleh berdepan liabiliti undang-undang selama beberapa dekad akan datang,” tambahnya.

Peguam Kanan Pusat Hak Perlembagaan (CCR) New York, Katherine Gallagher menegaskan, mana-mana syarikat yang bekerjasama dengan Israel dan Trump untuk memindahkan penduduk Gaza secara paksa sedang mendedahkan diri mereka kepada risiko tersebut.

Katanya, CCR baru-baru ini menyaman pentadbiran Trump bagi mendapatkan rekod pembiayaan terhadap GHF, badan swasta yang menyelia pengagihan bantuan di Gaza di mana ratusan penduduk Palestin terbunuh ketika beratur mendapatkan makanan.

Skim cepat kaya versi Trump

Media Israel turut mempersoalkan cadangan itu termasuk sebuah kolum di akhbar berhaluan kiri Haaretz yang menggambarkannya sebagai skim cepat kaya ala Trump yang bergantung kepada jenayah perang, kecerdasan buatan (AI) dan pelancongan.

Jelasnya, rancangan yang bersubjudul ‘Daripada Proksi Iran yang Musnah kepada Sekutu Abraham yang Makmur’ itu dilihat seperti disediakan oleh pihak yang tidak memahami geografi Gaza, politik Asia Barat atau cabaran sebenar membina semula wilayah tersebut menjadi hab teknologi dan pelancongan bernilai berbilion dolar yang bakal bersaing dengan Israel.

Pelan tersebut, yang kononnya tidak memerlukan dana AS dan hanya bergantung kepada pelabur swasta sebanyak AS$100 billion (RM422,861), membayangkan sebuah bandar pelabuhan yang meriah, dibelah oleh terusan dan dikelilingi sehingga lapan mega-bandar pintar berteknologi tinggi berkuasa AI, mirip projek Neom di Arab Saudi yang kini dilanda masalah.

Ia juga mencadangkan sebuah ‘taman perindustrian Elon Musk’ dibangunkan di atas runtuhan zon industri Erez, yang dahulunya dibina dengan pelaburan Israel untuk mengeksploitasi tenaga kerja murah Palestin tetapi kemudiannya ditutup dan dimusnahkan oleh tentera rejim.

Peta pelan itu turut menunjukkan pengambilalihan besar-besaran tanah pertanian di pinggir Gaza, kawasan yang kebanyakannya terletak berhampiran sempadan Israel untuk dijadikan zon penampan keselamatan.

Cabar kedaulatan Palestin

Kandungan terperinci pelan itu lebih membimbangkan apabila tidak membuat sebarang perbezaan dari segi kedaulatan antara Gaza, Israel dan Mesir, sekali gus mengabaikan hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat