KUALA LUMPUR – Masa depan dan kelangsungan syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4 Group) yang melibatkan empat kerajaan negeri ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) diragui sekiranya salah satu negeri dirampas semula oleh Barisan Nasional (BN).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Puad Zarkashi berkata, belum pernah ada empat negeri berkongsi satu syarikat.
“Apa akan jadi kepada syarikat SG4 jika satu atau dua kerajaan negeri PN bertukar tangan.
“Terengganu, Kedah dan Perlis bukan mustahil dirampas semula oleh BN.
“Akan timbul banyak masalah baik dari segi pekerja, aset, saham dan lembaga pengarah. Tidak pernah empat negeri berkongsi buat satu syarikat,” bidas Puad.
Tambah beliau, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor pula tidak suka kongsi kongsi.
“Takut Sanusi kata, “Kedah rugi sejak Tuhan buat dunia ini lagi”.
“Justeru penubuhan syarikat SG4 ini bermotif politik bukan perniagaan.
“Apa lagi penasihatnya adalah Tun Dr Mahathir Mohamad,” tempelak Speaker DUN Johor itu lagi.
Empat kerajaan negeri ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) menubuhkan syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4 Group) untuk tujuan kerjasama dalam bidang ekonomi.
Ketua Panel Penasihat Sidang Kemuncak Kerajaan 4 Negeri (SG4), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan negeri terbabit iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis masing-masing memiliki 25 peratus ekuiti syarikat tersebut.