Pesawat Tentera Filipina Terhempas Akibat Situasi Pegun

- Advertisement -

MANILA: Pesawat Filipina membawa pasukan tentera yang terhempas Julai lalu dan meragut lebih 50 individu dalam insiden kemalangan udara tentera terburuk di negara itu disebabkan ‘terperangkap dalam situasi pegun’.

Pihak tentera hari ini memaklumkan, pesawat pengangkut C-130 Hercules itu membawa hampir 100 individu yang kebanyakannya tentera baharu, sebelum bergerak melebihi landasan ketika cuba mendarat di pulau Jolo di wilayah Sulu.

Kebanyakan yang maut adalah anggota tentera yang dikerahkan ke pulau itu yang menjadi sarang militan Islam, sebagai sebahagian usaha serangan balas pemberontakan, manakala puluhan lagi cedera.

“Berdasarkan laporan pasukan penyiasat, tiada sebarang faktor tunggal yang boleh dikaitkan secara eksklusif sebagai punca nahas.

“Komponen pesawat itu, keadaan persekitaran dan tindak balas anak kapal membawa kepada situasi pegun yang tidak dapat dipulihkan dalam fasa kritikal operasi penerbangan,” kata Angkatan Tentera Filipina (AFP) dalam satu kenyataan.

Jurucakap tentera, Kolonel Ramon Zagala, berkata ‘kerosakan’ sebuah komponen menyalakan satu lampu menyebabkan juruterbang memberi tumpuan kepadanya berbanding memulihkan situasi pegun atau berpatah balik.

Pesawat itu berada dalam situasi pegun selepas kehilangan ‘tujahan dan daya angkat’ pada altitud rendah.

“Kebiasaannya, kita boleh memulihkan situasi pegun… jika kita memiliki altitud apabila berada tinggi di atas, namun dalam kes ini mereka tidak memiliki altitud,” katanya, tanpa memperincikan komponen yang mengalami kerosakan.

Setiausaha Pertahanan Nasional Filipina, Delfin Lorenzana, memaklumkan satu jawatankuasa kongres bahawa beliau dimaklumkan nahas itu berpunca daripada ‘gabungan beberapa situasi’.

Katanya, ia turut merangkumi ‘kerosakan instrumen atau sistem, selain tindak balas juruterbang tidak kena dengan situasi kecemasan.

Pihak tentera sebelum ini memaklumkan, pesawat C-130 itu berada ‘dalam keadaan baik’ terhempas ketika dalam cuaca baik.

Hasil penuh siasatan itu tidak didedahkan kepada umum. Tidak jelas sama ada penemuan itu turut berdasarkan maklumat ditemui daripada perakam data penerbangan, yang dihantar ke Amerika Syarikat untuk dianalisis. – AFP

– Berita Harian

author avatar
Nur'ain Musa
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat