KENINGAU — Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperkukuhkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam usaha mentransformasikan operasi Pasar Tamu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata bagi tahun 2024, FAMA melaksanakan projek naik taraf iaitu 41 buah Pasar Tamu di Wilayah Sabah dengan peruntukan sebanyak 10 juta ringgit.
“Sejumlah 38 buah Pasar Tamu sedang dalam proses menaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM7.6 juta dan dijangka siap pada tahun ini.
“Manakala sebanyak 3 buah Pasar Tamu iaitu Pasar Tamu Kinabatangan, Pasar Tamu Menggerimot dan Pasar Tamu Rancangan Belia Tiulon dalam proses dokumentasi dan pelaksanaan bagi tujuan naik taraf,” katanya dalam satu kenyataan baru baru ini.
Jelasnya Pasar Tamu memainkan peranan yang penting sebagai medan pemasaran hasil pengeluaran produk pertanian dan agromakanan yang diadakan secara mingguan di Wilayah Sabah.
“Projek naik taraf ini memberikan peluang dan manfaat sehingga 150 orang usahawan di sesebuah Pasar Tamu dalam menjalankan aktiviti pemasaran agromakanan.
“Usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kemudahan fasiliti dan keselesaan pengunjung di Pasar Tamu dalam masa yang sama turut mengekalkan elemen budaya setempat yang merupakan keunikan identiti masyarakat di Wilayah ini,” katanya.
Untuk rekod, sehingga tahun 2023, FAMA telah membelanjakan sebanyak RM5.36 juta bagi menaiktaraf enam buah Pasar Tamu sedia ada iaitu Pasar Tamu Sook Keningau, Pasar Tamu Dataran Tomborungus Kudat, Pasar Tamu Kunak, Pasar Tamu Beluran, Pasar Tamu Tuaran dan di Pasar Tamu Telupid.