“Mana Dasar Kami Yang Zalim, Serang Dengan Fakta Lah” – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa blok pembangkang menyerang Kerajaan Perpaduan dengan fakta.

Anwar mencabar pembangkang untuk menyanggah mana-mana dasar Kerajaan Perpaduan yang dianggap zalim kerana beliau sedia untuk menjawab dan mempertahankannya.

“Saya menggesa calon-calon Perpaduan yang bertanding untuk memperpanjang pencerahan ini kepada rakyat terutamanya mengenai senarai kejayaan dan pencapaian kita dalam tempoh singkat 7 bulan dan bandingkan dengan kegagalan mereka selama 33 bulan mentadbir, dan apakah mereka berani dan bersedia untuk mempertahankan dasar-dasar mereka.

“Abaikan cercaan dan sindiran mereka tapi kita mesti perlihatkan contoh serta budaya politik yang lebih matang, lantas tamadun yang madani dapat dipaculkan.

“Justeru, lontaran saya kepada pihak sana — serang kami dengan fakta dan silakan sanggah mana-mana dasar Kerajaan Perpaduan yang kalian anggap zalim dan saya bersedia menjawab dan pertahankan. Berani? soal beliau dalam siri ceramahnya di Labu Negeri Sembilan, semalam.

Dalam acara akhir di Labu semalam, Anwar meneruskan kempen penerangan terkait langkah serta pencapaian yang telah dilakukan dan dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan dalam masa singkat.

“Saya menjelaskan mengenai projek tebatan banjir yang telah diluluskan kerajaan terdahulu tanpa melalui tender dan prosedur standard kewangan yang menelan belanja sebanyak RM15 bilion.

“Setelah disemak dan ditender semula, Kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM1.8 bilion, dan penjimatan itu telah saya salurkan sebanyak RM800 juta kepada kerajaan negeri Johor bagi menyelesaikan masalah banjir di Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat melalui projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

“Baki sebanyak RM1 bilion lagi telah saya salurkan kepada kerajaan negeri Kelantan bagi menyelesaikan masalah bekalan air di sana.

“Saya sebut perkara ini sebagai contoh bukti bahawa ini gerak kerja Kerajaan selama 7 bulan di mana sekiranya tatakelola sesebuah kerajaan itu baik, hubungan baik antara negeri dan Pusat dijaga dengan tertib, maka rakyat pasti mendapat dan menikmati hasilnya.

“Ini adalah modal kami di pihak Kerajaan Perpaduan dalam siri kempen pilihan raya di enam negeri saat ini,” ujarnya.

Manakala dalam ucapan Perdana Menteri di Lenggeng malam tadi, beliau saya menggesa para pengundi di DUN Lenggeng ini agar tidak tersalah pilih calon dalam memastikan pembangunan di Negeri Sembilan ini dapat diteruskan.

“Gabungan Perpaduan PH-BN menampilkan calon yang cukup baik dan punyai tekad jelas berkhidmat kepada rakyat.

“Tatkala semua calon PH-BN giat berkempen menerangkan visi dan misi mereka parti lawan pula masih berbalah antara satu sama lain dan ini jelas membuktikan mereka tiada dasar yang lebih baik untuk diketengahkan kepada rakyat.

“Bagaimana mungkin mereka menyatakan mereka pihak yang ‘bersih’ dan lebih baik dari Gabungan Perpaduan dalam keadaan beberapa watak pimpinan mereka turut terpalit dengan kes di mahkamah,” katanya.

Jelas Menteri Kewangan itu lagi, sehingga hari ini mereka masih gagal menyatakan dasar apa yang lebih baik yang mereka mahu usulkan kepada rakyat di keenam-enam negeri.

“Justeru, soalan saya kepada mereka adalah watak mana yang ubah suai kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Perdana dengan kos lebih RM30 juta di saat rakyat berdepan masalah pandemik? soal beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat