Dasar Kebun Komuniti Bandar (DKKB): Inisiatif Hijau Untuk Warga Kota.

- Advertisement -

Oleh Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Konsep perkebunan bandar atau urban farming telah pun wujud sejak dari zaman dahulu kala lagi. Jika kita membuka lipatan sejarah, aktiviti mewujudkan kebun-kebun di kawasan metropolis atau bandaraya telahpun diwujudkan semasa tamadun awal Parsi (sebelum bermulanya kalender masihi).

Terdapat juga rekod-rekod yang menunjukkan kebun-kebun kota ini telah diusahakan di kawasan Machu Piccu, pada kurun ke 15 oleh Tamadun Inca (kini dikenali sebagai Negara Peru).

Dikalangan tamadun Melayu Kuno pula, terdapat banyak catatan sejarah yang memaparkan bahawa orang-orang Melayu di zaman dahulu mengusahakan tanaman kecil-kecilan di kawasan rumah yang mereka diami. Keadaan ini berterusan di kawasan perkampungan di Malaysia sehingga kini, namun tidak lagi berlaku di kawasan bandar atau bandaraya.

Akibat daripada kepesatan pembangunan negara, apabila ramai anak-anak kampung berhijrah ke kota-kota besar di Malaysia seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru, yang memperlihatkan aktiviti perkebunan di kawasan kediaman sebagai satu nostalgia yang telah lama ditinggalkan.

Banyak faktor yang menjadikan amalan lama ini tidak lagi diikuti, antaranya adalah disebabkan oleh kekangan kawasan tanah pertanian di kawasan bandar.

Namun dengan teknologi terkini, dengan wujudnya kaedah-kaedah baharu yang membolehkan aktiviti perkebunan dilaksanakan di kawasan yang mengalami kekurangan tanah pertanian, konsep perkebunan bandar ini telah muncul semula.

Melihat keperluan bagi mempromosikan amalan yang baik ini, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan telah memberi satu guideline atau garis panduan bagi melaksanakan perkebunan bandar dengan efektif, selamat dan menguntungkan.

Pada 3 Ogos 2021, Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan Malaysia, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin telah melancarkan Dasar Kebun Komuniti Bandar (DKKB) bagi meningkatkan penggunaan kawasan pertanian secara optimum di kawasan bandar.

Dasar ini diperkenalkannya sebagai langkah memperkasakan komuniti bandar dengan membangunkan kebun secara tersusun, sistematik, organik dan mampan terutamanya di kawasan-kawasan penduduk B40 seperti PPR dan PPRT.

Aktiviti perkebunan bandar ini dapat memastikan makanan segar tersedia dan berpatutan, sekaligus dapat membantu penduduk setempat mencari alternatif untuk mendapatkan makanan sehingga dapat mengurangkan kos sara hidup.

Selain itu kaedah ini juga dapat memastikan bekalan makanan yang stabil, yang dapat mengurangkan perbelanjaan yang ditanggung oleh masyarakat, terutamanya bagi keluarga yang berpendapatan rendah.

Perkebunan bandar ini bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi dan bekalan makanan penduduk tetapi juga dapat mempereratkan hubungan sesama komuniti yang berkongsi kawasan tanaman untuk diusahakan bersama.

Usaha bagi memperkenalkan semula perkebunan bandar di Malaysia juga akan berupaya untuk menarik minat anak-anak muda di kawasan bandar untuk menceburkan diri dalam bidang agrikultur dan hortikultur yang sememangnya boleh mendatangkan pendapatan yang amat lumayan sekaligus meningkatkan taraf ekonomi mereka di masa hadapan.

Garis panduan yang telah ditetapkan di dalam DKKB juga amat mudah untuk diikuti oleh sesiapa sahaja yang ingin mewujudkan kebun sendiri di kawasan rumah mereka sendiri. Diharap warga kota dapat memanfaatkan usaha yang telah disokong oleh pihak kerajaan ini. Bak kata pepatah Melayu lama, “Berbudi kepada tanah, sudah tentu akan mendapat hasilnya”.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat