Lee Jung-hyun ‘tunduk hormat’ bertemu Bella

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menjadi satu-satunya pelakon teater dari Malaysia dipilih membintangi filem sekuel, Train To Busan: Peninsula memahat memori manis buat pelakon, Bella Rahim, 46.

Tidak tergambar perasaan Bella atau nama sebenarnya, Siti Robela Abdul Rahim, 46, saat mengetahui dirinya terpilih mendokong watak wanita Asia bernama Mejar Jane, selepas uji bakat dijalankan di seluruh dunia.

Meskipun hanya muncul sebagai penampilan khas, namun pengalaman bekerja dengan produksi Korea memberikan pengalaman cukup berharga buatnya.

Jauh di sudut hati, terbit rasa bangga dengan pencapaiannya mewakili Malaysia di persada filem luar negara, tetapi agak apabila tular dalam media sosial kerana tidak biasa dengan situasi itu.

Bella berkata, segala emosi bercampur baur, gembira, sedih dan terharu.

“Sukar untuk saya menggambarkan perasaan apabila dimaklumkan ejen yang saya dipilih untuk membintangi filem Peninsula. Ia sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran.

“Lebih membuatkan saya gementar apabila ejen memaklumkan, nama saya terpilih membawa watak Mejar Jane menerusi uji bakat yang dijalankan di seluruh dunia. Uji bakat turut disertai warga Malaysia yang menetap di New York dan London, tetapi rezeki milik saya,” katanya yang membawakan watak Ketua Unit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Malaysia.

Bekas graduan Diploma Seni Persembahan dari Ecole Philippe Gaulier, Perancis itu berkata, dia menghadiri sesi uji bakat pada Mei, tahun lalu.

Namun, katanya, dia langsung tidak mengetahui mengenai butiran filem, sebaliknya hanya diberitahu uji bakat untuk filem arahan Yeon Sang Ho.

Bella Rahim terharu apabila hero filem sekuel, Train To Busan: Peninsula, Gang Dong-won mengetahui latar belakang pendidikannya yang mengikuti pengajian teater di Perancis. - Foto IG Bella Rahim
Bella Rahim terharu apabila hero filem sekuel, Train To Busan: Peninsula, Gang Dong-won mengetahui latar belakang pendidikannya yang mengikuti pengajian teater di Perancis. – Foto IG Bella Rahim

“Apabila ejen menyebut nama itu, saya rasa seperti macam biasa saya dengar. Jadi, saya membuat carian nama Yeong Sang Ho di enjin carian Google, dia adalah pengarah filem terkenal, Train To Busan.

“Saya dapat mengagak uji bakat dilakukan untuk filem sekuel bergenre thriller itu, tetapi ejen tidak tahu.

“Saya diberikan dialog, tetapi tidak diberikan senario mahupun papan cerita ketika uji bakat. Saya dikehendaki berimaginasi melalui dialog diberikan, uji bakat pula dirakamkan dalam bentuk video,” katanya yang menggigil apabila dimaklumkan terpilih membawa watak Mejar Jane.

Bella berkata, dia tidak dibenarkan membuka mulut, mahupun berkongsi foto sepanjang penggambaran dijalankan selagi filem yang menampilkan bintang Korea, Gang Dong-won dan Lee Jung-hyun ditayangkan di pawagam ketika menandatangani kontrak perjanjian.

Sebelum terbang ke Korea, Bella berkata, perasaannya turun naik memikirkan adakah dirinya bakal melalui pengalaman tidak menyeronokkan sepanjang penggambaran. Namun, dalam masa yang sama, tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja. Sebaik tiba di Seoul, segala kebimbangan bagaikan terhakis.

Ujar wanita peramah itu, meskipun hanya muncul sebagai penampilan khas tetapi dirinya dilayan bagaikan ‘superstar’ hingga membuatnya berasa kekok.

“Bayangkan, sarung kaki saya pun dipakaikan penjaga pakaian, malah mereka membantu mengikatkan tali kasut. Walaupun saya memberitahu boleh buat sendiri, tetapi mereka tetap melakukannya dan memberitahu, ia adalah tugas mereka.

“Bukan itu sahaja, kru produksi akan bergegas membawa kerusi dan kipas ketika penggambaran berhenti rehat. Saya dilayan seperti bintang utama hingga membuatkan saya rasa segan.

“Syarikat produksi sangat profesional, mereka terlebih dahulu melakukan kajian mengenai saya. Mereka menjaga sensitiviti saya sebagai orang Islam apabila hanya menyediakan makanan laut dan vegetarian sepanjang berada hampir seminggu di Korea,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, kata Bella, penggambaran membabitkan watak Mejar Jane hanya mengambil masa dua hari sahaja.

“Pada hari pertama, saya diberi peluang untuk berehat, manakala hari kedua pula digunakan untuk berjumpa pengarah dan sesi ‘fitting’ baju.

Bella Rahim bersama pengarah filem terkenal, Yeong Sang Ho yang disifatkan seorang baik dan tidak pernah meninggikan suara di lokasi penggambaran filem sekuel, Train To Busan: Peninsula. - Foto IG Bella Rahim
Bella Rahim bersama pengarah filem terkenal, Yeong Sang Ho yang disifatkan seorang baik dan tidak pernah meninggikan suara di lokasi penggambaran filem sekuel, Train To Busan: Peninsula. – Foto IG Bella Rahim

“Saya terkejut melihat pakaian seragam yang terdapat bendera Malaysia di bahagian lengan. Saya tak tahu watak Mejar Jane mewakili anggota PBB dari Malaysia. Saya sangat mengagumi mereka kerana membuat kajian yang terperinci mengenai watak ini,” katanya.

Kata Bella, penggambaran hanya diadakan pada hari ketiga di Daejeon dan beralih ke Incheon pada hari kelima.

Sepanjang dua hari penggambaran, Bella berkata, dia berkesempatan bertemu dengan dua bintang utama. Menyifatkan

Gang Dong-won dan Lee Jung-hyun peramah, biarpun nama besar.

Katanya, heroin filem itu, Lee Jung-hyun menunduk hormat kepadanya terlebih dahulu ketika kali pertama bertemu, manakala Gang Dong-won pula tahu latar belakangnya yang mengikut pengajian teater di Perancis.

“Saya terharu Gang Dong-won tahu mengenai latar belakang pengajian saya. Beliau sangat profesional dan mengambil tahu latar belakang saya, sedangkan watak saya tidak sebesar mana.

“Begitu juga Lee Jun-hyun yang terlebih dahulu tunduk hormat kepada saya, sedangkan sepatutnya saya yang perlu berbuat demikian kerana beliau bintang hebat dan nama besar,” katanya yang mengakui profil kelulusan antara yang membuatkannya menjadi dipilih membintangi filem Peninsula.

Bella berkata, dia tidak sempat mengintai peluang lain sepanjang berada di Korea kerana perlu bergegas pulang ke Malaysia berikutan terikat dengan pementasan teater di Norway.

“Sekiranya ada peluang untuk berlakon di Korea tentulah saya tidak melepaskan peluang keemasan. Pengarah filem sempat berseloroh mahu memanggil saya untuk membintangi karyanya. Saya kata tiada masalah, tetapi apabila saya bertanya semula, betulkah apa yang dikatakan, beliau hanya mendiamkan diri.

“Walau bagaimanapun saya tetap bangga apabila menonton filem Peninsular pada majlis pra-tonton yang diadakan di Kuala Lumpur.

“Meskipun watak Mejar Jane tidak banyak, tetapi peranan yang dibawakan agak besar. Saya terharu apabila mendapat maklum balas daripada mereka yang menonton filem itu,” kata pelakon yang baru dinobatkan gelaran Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Cosmo India 2020 untuk filem pendek berjudul Ikhwan, Jun lalu.

Terdahulu, nama Bella menjadi bualan dalam media sosial selepas filem Peninsula mula ditayangkan di pawagam pada 16 Julai lalu. Ramai tidak menyangka watak Mejar Jane dibintangi pelakon Malaysia.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat