6 tahun bicara, kes tuntutan harta lebih RM2 bilion Jamaludin Jarjis selesai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Selepas enam tahun, kes tuntutan harta lebih RM2 bilion difailkan balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya berakhir dengan kes itu diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Nur Hidayah A. Bakar, yang mewakili ibu Jamaludin, Aminah Abdullah ketika ditemui media selepas prosiding dijalankan secara tertutup di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz selesai.

Menurut Nur Hidayah, dengan penyelesaian itu, kesemua pihak tidak perlu lagi datang ke mahkamah.

“Alhamdulillah, hari ini pihak-pihak telah berjumpa dan berbincang lebih kurang tiga jam pada pagi ini dan semua telah mencapai kata sepakat bagi penyelesaian kes dan hari ini juga telah pun direkodkan.

“Semalam telah berjalan perbicaraan untuk keterangan pihak plaintif (Kalsom), namun setelah pihak-pihak berbincang, mereka telah mencapai kata sepakat untuk mengadakan perbincangan membabitkan semua pihak hari ini.

“Alhamdulilah, hari ini telah selesai. Bagaimanapun terma, jumlah atau apa sahaja berkaitan harta itu tidak boleh didedahkan,” katanya.

Ditanya mengenai lokasi perbincangan sebelum mencapai penyelesaian, Nur Hidayah berkata, pihak-pihak banyak menjalankan perbincangan di rumah dan juga di pejabat peguam.

Dalam prosiding hari ini, Kalsom diwakili peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Kalsom, 68, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Mekah serta beberapa buah syarikat dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya Aminah sebagai defendan.

Pada 28 Ogos tahun lalu, mahkamah itu membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang dalam pernyataan tuntutan.

Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda, lapor Utusan pada Rabu.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada pukul 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Pada prosiding September tahun lalu, tuntutan tersebut gagal menemui penyelesaian dan diteruskan dengan perbicaraan yang mana prosiding itu akan didengar di hadapan hakim syarie sama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat