Lebih RM750 juta harta berkait isteri Daim, keluarga dibeku SPRM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Tiga kediaman mewah di London ialah antara tujuh hartanah dan satu akaun bank milik isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga, yang berjaya dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan nilai berjumlah £132 juta (RM758.2 juta).

Hasil siasatan dijalankan SPRM mendapati harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan didakwa berhubungan dengan suatu kesalahan bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan SPRM untuk membekukan kesemua harta berkenaan pada prosiding secara sebelah pihak (ex-parte), lapor BH pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan SPRM bertegas untuk tetap mengambil tindakan pelucutan sebahagian hak pemilikan harta Allahyarham Daim dan keluarganya yang didakwa tidak diisytiharkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dipetik berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak kertas siasatan akan dibuka dalam tindakan melucutkan hak harta berkenaan.

Beliau dilaporkan mengulas kenyataan peguam isteri Daim dan keluarga yang menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak masuk akal dan dibuat tanpa asas perundangan, susulan Azam mengesahkan SPRM sedang berusaha untuk melucutkan hak pemilikan harta milik Daim dan keluarganya.

Selain RM2 bilion harta Daim yang kini dibekukan oleh SPRM, Azam dilaporkan berkata, agensi itu percaya masih ada harta tidak diisytiharkan di luar negara membabitkan yang dimiliki ahli keluarga serta proksi Allahyarham.

Pada 22 Mei lalu, Azam berkata pihaknya sedang berusaha melucutkan hak pemilikan harta milik Daim dan keluarga bekas Menteri kewangan itu.

Menurutnya, selain harta bernilai tinggi membabitkan RM2 bilion yang kini dibekukan pihaknya, SPRM juga percaya masih ada harta yang tidak diisytiharkan berada di luar negara.

Pada 23 Jan 2024, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan gagal mematuhi notis mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Enam hari kemudiannya Daim turut didakwa atas tuduhan sama, membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah.

Pada 20 November tahun lalu, kes pengisytiharan aset melibatkan Daim ditamatkan susulan kematian beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat