KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam membanteras penipuan dalam talian dan pelaburan tidak berlesen.
MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi SC, Mohammad Faiz Azmi dan Pengerusi MCMC, Mohamad Salim Fateh Din dalam satu majlis di ibu pejabat SC, yang turut disaksikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.
Pengerusi SC, Mohammad Faiz berkata MoU berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh perlindungan pelabur dan orang awam daripada ancaman penipuan, selain meningkatkan keupayaan kedua-dua agensi untuk bertindak balas secara lebih berkesan terhadap taktik penipuan yang semakin canggih.
“MoU ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh usaha melindungi pelabur runcit dan orang awam daripada penipuan. Dengan menggabungkan kepakaran kami, SC dan MCMC boleh bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap ancaman yang muncul, meningkatkan perlindungan serta kesedaran awam terhadap penipuan kewangan dan pelaburan tanpa lesen,” katanya.
Menurutnya, melalui kerjasama ini, kedua-dua agensi akan mempergiat usaha membanteras ancaman penipuan dalam talian yang semakin meningkat termasuk skim pelaburan palsu yang menyalahgunakan platform digital, selain memanfaatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pengesanan, penyiasatan dan penguatkuasaan.
Kerjasama ini juga sejajar dengan pengukuhan peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan dalam menyelaras tindakan antara agensi untuk melindungi orang ramai daripada penipuan kewangan digital.
Sepanjang tahun 2024 dan 2025, SC dengan bantuan MCMC telah menyekat atau menggantung sebanyak 328 laman web, 388 akaun Telegram dan 60 nombor telefon yang terlibat dalam aktiviti penipuan.
Sementara itu, MCMC dalam kenyataan memaklumkan kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen berterusan untuk memastikan persekitaran digital yang lebih selamat, selain memperkukuh perkongsian risikan serta mempercepatkan tindakan penguatkuasaan.
Kerjasama ini merupakan kesinambungan daripada mesyuarat pertama antara kedua-dua agensi pada Mac 2025, yang membuka laluan kepada pelaksanaan langkah mitigasi penipuan termasuk sekatan kandungan secara lebih pantas serta penerokaan teknologi baharu.
Selain itu, kedua-dua pihak turut akan memperkukuh pembangunan Prosedur Operasi Standard (SOP), meningkatkan keupayaan siasatan serta melaksanakan inisiatif pendidikan awam bagi meningkatkan kesedaran terhadap penipuan pelaburan, keselamatan kewangan dan keselamatan digital.



