Yayasan Insan Sakan, Saloma KL, hulur bantuan kepada mangsa nahas pemandu mabuk Klang

SHAH ALAM — Yayasan Insan Sakan bersama Saloma Kuala Lumpur tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal yang dirempuh pemandu dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Klang, baru-baru ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengasas Yayasan Insan Sakan dan Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Sri Dr. Riza dalam satu lawatan ke kediaman keluarga mangsa di sini, hari ini, sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib yang menimpa keluarga berkenaan.

Menurut beliau, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban keluarga mangsa di samping memberi sokongan moral agar mereka terus kuat menghadapi ujian.

“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat membantu meringankan beban keluarga mangsa, di samping menjadi tanda bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi ujian ini.

“Keprihatinan dan sokongan komuniti amat penting dalam saat-saat sukar seperti ini,” katanya.

Bantuan yang disalurkan merangkumi tajaan keperluan asas persekolahan untuk anak-anak mangsa seperti pakaian sekolah, beg dan alat tulis secara berterusan mengikut keperluan semasa.

Selain itu, keluarga mangsa turut menerima sumbangan kewangan bagi membantu perbelanjaan harian.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan Insan Sakan melalui Pasaraya Borong Sakan bersama Saloma Kuala Lumpur dalam membantu golongan memerlukan serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Diraja Malaysia (PERKEP), Datin Sri Munirah Che Rose.

Dalam kejadian sebelum ini, mangsa, Allahyarham Amirul Hafiz Omar dilaporkan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu individu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nor Nadia Abd Majid serta tiga orang anak, termasuk dua yang masih bersekolah dan seorang lagi berusia dua tahun.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat