Dituduh tipu kerajaan RM3.9 bilion: “Saya tak bersalah, sudah tolong negara banyak lama”- Pengerusi SPANCO

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pengerusi Spanco Sdn Bhd (SPANCO), Tan Sri Robert Tan Hua Choon, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menipu hingga mendorong Kementerian Kewangan (MOF) menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9 bilion, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, pengerusi syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan berusia 83 tahun itu mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di depan Hakim, Suzana Hussin.

“Faham (pertuduhan), saya tidak bersalah. Saya sudah tolong negara banyak lama,” katanya lapor BH pada Rabu.

Mengikut pertuduhan, Hua Choon didakwa menipu MOF dengan memperdayakan Jawatankuasa Pembuka Peti Tender bagi tender bertajuk ‘Request for Proposal for Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleet’ Unit Kerjasama Awam Swasta MOF bahawa terdapat pemilikan saham sekurang-kurangnya 30 peratus oleh Bumiputera di syarikat SPANCO.

Ia melalui dokumen bertajuk ‘Appendix IV (Annex i) Bidder’s Profile’ dan dengan itu tertuduh secara tidak jujur mendorong MOF untuk menganugerahkan kontrak ‘Supply, Repair, Maintenance and Management of Govemment of Malaysia Vehicle Fleet’ bernilai RM3,966,386,628 kepada syarikat SPANCO yang mana MOF tidak akan berbuat begitu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Tender Unit Kerjasama Awam Swasta, MOF, Aras 10, Blok Menara, Menara Usahawan, Presint 2, Persiaran Perdana, Putrajaya, pada 27 serta 28 Februari 2019 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, mencadangkan jaminan RM2 juta dengan seorang penjamin terhadap tertuduh yang sudah dipersetujui pembelaan tokoh korporat berkenaan.

“Syarat jaminan lain dikehendaki serahkan pasport hingga kes selesai dibicarakan dan memohon tertuduh melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan.

“Ketiga, tertuduh tidak dibenarkan mengacau ganggu atau berhubung saksi pendakwaan secara terus atau menerusi pihak ketiga hingga kes selesai,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela Hua Choon, Datuk Wan Azmir Wan Majid, mengesahkan tidak membantah cadangan jaminan RM2 juta walaupun ia dilihat sebagai jumlah yang tinggi.

“Anak guam ada ‘hypertension’ (darah tinggi), sakit lutut dan belakang, selain sentiasa memerlukan bantuan perubatan. Pergerakan anak guam bergantung kepada tongkat dan sentiasa dibantu individu lain untuk urusan harian.

“Dalam kes ini, penjamin adalah anak tertuduh. Seterusnya, permintaan untuk menyerahkan pasport menyekat perjalanan dan pergerakan anak guam.

“Dengan demikian, syarat melapor setiap bulan adalah tidak perlu memandangkan ada syarat sedemikian. Secara alternatif, saya memohon untuk mempermudahkan anak guam untuk melapor diri setiap tiga bulan kerana tiada risiko melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, peguam pemerhati mewakili SPANCO, Razlan Hadri, khuatir tertuduh sebagai pengarah eksekutif syarikat yang masih aktif dalam perniagaan tidak sengaja berhubung dengan saksi pendakwaan.

Terdahulu, Hua Choon hadir bertongkat dengan memakai baju kemeja dan kot biru diiringi beberapa individu sebelum memasuki lobi mahkamah jam 8.13 pagi.

Tokoh korporat itu kelihatan tenang ketika dirakam gambar dan video oleh beberapa pengamal media yang berkumpul sejak jam 8 pagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat