Ordinan Baharu: Jangan Ketepikan Akauntabiliti, Malaysia Bukan Kerajaan Junta – Tok Mat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak mengetepikan akauntabiliti dan ketelusan dalam apa jua keadaan sekalipun.

Ini kerana jelas beliau, Malaysia masih lagi mengamalkan pemerintahan sebagai kerajaan awam dan bukannya sebuah kerajaan junta tentera.

“Tindakan Kerajaan meminda Ordinan Darurat untuk memberikan kuasa kepada kerajaan menambah perbelanjaan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri adalah sangat membimbangkan.

“Darurat tidak boleh mengetepikan akauntabiliti dan ketelusan dalam apa juga keadaan sekalipun. Keabsahan tindakan pindaan Ordinan tersebut tidak semestinya memberikan ia legitimasi moral.

“Kerajaan kita masih lagi adalah kerajaan awam dan bukannya sebuah Kerajaan junta tentera. Maka bertindaklah dengan norma dan tatakelola yang sesuai dengan sifat sebuah kerajaan awam,” jelasnya.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut menerusi satu ciapan di Twitter peribadinya pada petang Jumaat.

Beliau menambah, sesuatu yang sah dalam darurat mestilah juga sesuatu yang dipandu dan diputuskan dengan nilai, moral dan prinsip.

“Apa lagi bila ia melibatkan perbelanjaan dana awam. Tiada keadaan walau serumit dan sesukar mana sekalipun, wajar melepaskan kerajaan dari ‘rigorous scrutiny’ dalam membelanjakan wang rakyat dan hasil negara.

“Malah semasa dalam kedudukan darurat, Kerajaan mesti lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam membelanjakan hasil negara kerana kelumpuhan mekanisme semak dan imbang serta perlembagaan yang tidak berfungsi.

“Perdana Menteri mesti dengan segera melakukan perkara yang betul dan sewajarnya untuk negara ini dan kepentingan demokrasi Malaysia. Malaysia dan rakyatnya wajar mendapat kewibawaan yang lebih baik dari pemerintah,” tambah Mohamad lagi.

Pada Rabu satu undang-undang baharu yang membenarkan Perbendaharaan (Kementerian Kewangan), Menteri Besar atau Ketua Menteri meluluskan apa-apa perbelanjaan tambahan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa, diwartakan.

Ini berdasarkan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (Pindaan) 2021, yang berkuat kuasa pada 31 Mac 2021, melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan Jabatan Peguam Negara pada Rabu.

Ordinan itu, yang dipinda dengan memasukkan dua seksyen baharu iaitu 10A dan 10B, telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat