KUALA LUMPUR – Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah bukan pengganti kepada fungsi dan peranan Jurucakap Kerajaan Madani Fahmi Fadzil sebaliknya sebagai pelengkap.
Menurut Tunku Nashrul, Taklimat Harian PMO bertujuan memperkukuh struktur komunikasi Kerajaan Madani dengan strategi komunikasi yang lebih menyeluruh.
Dengan adanya taklimat seumpama ini, kerajaan dapat memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat disamping mencantas fitnah dan maklumat palsu dengan pantas dan berkesan.
“Persoalan yang timbul membabitkan taklimat harian Pejabat Perdana Menteri yang dikendalikan oleh saya, adakah taklimat ini bertindih dengan tugas jurucakap Kerajaan Madani yakni Fahmi Fadzil?
“Jawapannya ialah tidak sama sekali, di mana taklimat harian PMO memberi tumpuan kepada perkembangan harian dan gerak kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Penjelasan beliau mengenai isu-isu semasa yang mendesak serta arahan-arahan kepada kementerian dan agensi untuk memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan.
“Manakala peranan Fahmi pula selaku Jurucakap Kerajaan Madani bertanggungjawab untuk memastikan segala penjelasan isu dan persoalan membabitkan dasar-dasar kerajaan serta keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri dimaklumkan kepada rakyat.
“Taklimat harian PMO bukan pengganti kepada Jurucakap Kerajaan Madani tetapi menjadi pelengkap dan memperkukuh struktur komunikasi Kerajaan Madani
dengan strategi komunikasi yang lebih menyeluruh, kerajaan dapat memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat disamping mencantas fitnah dan maklumat palsu dengan pantas dan berkesan seperti yang saya maklumkan sebelum ini,” jelas Tunku Nashrul pada Isnin.