Oleh Zihan Zari
MANJUNG – Seramai 33 pelajar Diploma Geomatik Politeknik Ungku Omar (PUO) semester dua berpeluang menyertai program cerapan hilal bagi penentuan awal Ramadan 1446H/2025M di Balai Cerap Baitul Hilal, Pasir Panjang, Segari, dekat sini baru-baru ini.
PUO dalam kenyataannya berkata, program ini memberi pengalaman praktikal kepada para pelajar dalam bidang falak dan cerapan hilal.
Di samping itu, memperkukuh pemahaman mereka tentang kaedah penentuan awal bulan Islam.
Menurutnya, program ini turut melibatkan penyertaan lapan orang pensyarah Diploma Geomatik PUO yang bertindak sebagai pembimbing kepada pelajar.
Menurutnya lagi, mereka bukan sahaja memberikan panduan mengenai teknik cerapan hilal, malah berkongsi ilmu mengenai kepentingan kaedah ini dalam menentukan permulaan Ramadan.
“Pelajar PUO yang menyertai program cerapan hilal ini adalah atas jemputan dari Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) bagi berkongsi ilmu bersama-sama dengan komuniti setempat.
“Kehadiran pensyarah dan pelajar dalam program ini memberikan peluang kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih jelas peranan ilmu falak dalam penentuan awal bulan Islam serta aplikasi teknologi dalam proses cerapan, ”katanya.
“Program seperti ini dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran dalam bidang geomatik malah mempunyai kefahaman mendalam tentang aspek falak yang berkaitan dengan bidang mereka.
“Aktiviti cerapan ini merupakan satu langkah penting dalam memperkasakan ilmu di kalangan generasi muda dan turut membuka peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan pakar falak serta pihak berkuasa yang terlibat dalam penentuan awal bulan Islam,”katanya lagi.
“Melalui sesi perkongsian ilmu dan pengalaman, pelajar dapat memahami dengan lebih mendalam aspek teknikal dan peranan teknologi moden dalam proses cerapan hilal, sekaligus meningkatkan daya saing mereka dalam bidang berkaitan, ”ujarnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Geomatik PUO, Hjh. Lailatul Rahmah Nekmat berkata program ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada pelajar mengenai ilmu falak, malah ianya mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dengan masyarakat.
“Kami berharap program seumpama ini dapat memberi manfaat kepada pelajar serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kaedah saintifik yang digunakan dalam penentuan awal Ramadan,”tambahnya. – SUARA.TV