KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menyegerakan usaha pemulihan bekalan beras putih tempatan di pasaran dan pemulihan bekalan ini sedang dilaksanakan secara berfasa.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dalam sesi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan, Anwar juga telah mengarahkan kementerian yang terlibat untuk memaklumkan perkembangan berkenaan pemulihan bekalan ini secara terus kepada masyarakat.
“Perdana Menteri juga mengambil maklum berkenaan isu beras putih tempatan yang terus menjadi perhatian di negara ini. Sehubungan itu, Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menyegerakan usaha pemulihan bekalan beras putih tempatan di pasaran.
“Insya-Allah pemulihan bekalan ini sedang dilaksanakan secara berfasa. Perdana Menteri juga mengarahkan kementerian untuk memaklumkan perkembangan berkenaan pemulihan bekalan ini secara berkala kepada rakyat,” katanya pada Isnin.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul turut mengulangi pengumuman Perdana Menteri di Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri pagi tadi, yang mana Perdana Menteri akan membentangkan Rang UndangUndang Perkhidmatan Parlimen 2025.
“Insya-Allah RUU ini akan memberikan kematangan kepada sistem demokrasi negara dengan membuka ruang kepada Parlimen untuk menjalankan fungsi, peranan dan tanggungjawabnya dengan lebih bebas.
“Perdana Menteri yakin RUU ini mengangkat Parlimen sebagai mercu tanda kebebasan bersuara dan menjulang proses demokrasi di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.
“Justeru, Perdana Menteri menzahirkan harapan agar RUU ini mendapat dukungan setiap Ahli Parlimen,” ujarnya.