AYER HITAM – Parti Pejuang memilih untuk tidak menamakan calon Menteri Besar Johor sebaliknya memastikan kemenangan calon terlebih dahulu.

Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu tidak ada guna sekiranya menamakan calon Menteri Besar dari Pejuang sekiranya kalah.

“Bagi Pejuang siapa jadi calon menteri besar bergantung siapa yang menang. Kalau kalah tak boleh jadi menteri besar sebab itu kita tidak namakan calon menteri besar.

“Apabila rakyat dah bagi kemenangan baru kita namakan menteri besar,” ujarnya pada sidang media di Felda Ayer Hitam.

Dalam pada itu Dr Mahathir memberitahu Pejuang turut mendapat sokongan daripada rakyat bukan Melayu.

Sementara itu, Dr Mahathir menyatakan kemungkinan untuk bergabung dengan parti lain sekiranya menang untuk membentuk kerajaan negeri Johor.

“Kita akan gabung dengan parti lain yang sebulu yakni pegang prinsip tolak rasuah.

“Pegang prinsip haramkan rasuah kita boleh pertimbangkan (gabungan). Kita akan cukupkan bilangan untuk tubuh kerajaan, setakat ini ada dua, tiga parti,” katanya.