Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Bantu Ekonomi Usahawan IKS Johor

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat negeri yang bermula di Johor hari ini, turut menjadi medan bagi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sekitar negeri itu untuk memperkasa dan mempertingkat keupayaan perniagaan mereka.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Zamri Salleh berkata ia juga bagi membantu usahawan kecil dan mikro, yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 untuk bangkit semula.

“Jadi kita amat berharap orang ramai bantu lagi beli produk usahawan tempatan,” katanya ketika ditemui Bernama di program berkenaan hari ini.

Ketua Penolong Setiausaha MEDAC Khairun Nahari Mohd Radzi berkata sebanyak 113 usahawan IKS daripada 11 agensi di bawah kementerian itu, terlibat dalam program berkenaan kali ini, meliputi lima kluster utama iaitu makanan dan minuman, fesyen, pertanian, kecantikan dan spa serta produk kraf.

“Kita juga memberi peluang kepada pengusaha untuk membuat padanan perniagaan, kalau ada usahawan berminat kita boleh menemukan usahawan untuk meneroka strategi pemasaran,” katanya.

Bagi Salsilah Terkip dari Batu Pahat, usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang juga pengusaha Sheila Kitchen berkata beliau amat menghargai usaha kerajaan, untuk membantu usahawan kecil sepertinya , misalnya dengan menyediakan platform jualan menerusi Jelajah AKM.

“Fokus saya kali ini adalah untuk mendapatkan pelanggan baharu, sebab kita tahu yang datang ke sini adalah dari pelbagai daerah, jadi tidaklah perniagaan saya hanya tertumpu di Batu Pahat,” katanya yang menjual pelbagai jenis kuih tradisional dan biskut.

Pengusaha kuih bangkit Samsuri Misbah dari Kampung Sungai Bagan, Rengit, Batu Pahat berkata setakat ini jualan beliau amat memberangsangkan, dan menjangkakan lebih ramai lagi pengunjung akan membeli produk kuihnya pada esok dan lusa.

“Kalau dulu waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bisnes saya tidak berapa baik, sebab pelanggan pun kurang, tapi kali ini Alhamdulillah semakin baik lebih-lebih dengan adanya peluang untuk berniaga seperti ini,” katanya.

Berlangsung di Dataran Angsana dekat sini, program selama tiga hari sehingga 5 Mac itu bermula dari 9 pagi sehingga 8 malam, merupakan kesinambungan kepada kejayaan Program 100 Hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Disember lepas.

Selain gerai usahawan IKS, antara program dan aktiviti disediakan adalah Jualan Keluarga Malaysia, sukan rakyat, E-Sport, program Jamin Kerja Keluarga Malaysia, gerai usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta gerai Citarasa Keluarga Malaysia, yang menyajikan pelbagai menu tradisi Johor. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat