Peraturan Dwi-Standard, Isu Keadilan Arwah Adib Antara Punca Kemarahan Rakyat – Aziz Kaprawi

CYBERJAYA – Pelaksanaan peraturan dan undang-undang dwi-standard yang membezakan rakyat dan pemimpin, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tidak terpakai untuk para menteri dan isu keadilan Allahyarham Adib yang belum terbela antara punca kemarahan rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mendedahkan perkara itu, bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Abd Aziz Kaprawi berkata, itu adalah antara 10 sebab timbulnya rasa marah dan benci rakyat kepada PN ketika ini.

“Tahun lepas telah menyaksikan hampir seluruh rakyat bergembira meraikan kejatuhan Kerajaan PH kerana rasa amat tidak berpuas hati dengan pentadbiran dan prestasi selama 22 bulan mereka memerintah.

“Namun, selepas hanya 12 bulan sahaja Kerajaan PN telah mengundang kemarahan dan kebencian rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyenaraikan 10 sebab tersebut.

“i. Kepincangan dan kelemahan Kerajaan PN menguruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menyebabkan kekeliruan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) di kalangan rakyat dan para penguatkuasa.

“ii. Pelaksanaan peraturan dan undang-undang yang bersifat dwi-standard yang membezakan antara rakyat dan para menteri sehinggakan terdapat menteri yang terlepas daripada tindakan undang-undang, SOP yang tidak terpakai untuk para menteri dan malah ada juga yang dibenarkan bercuti untuk melawat keluarga di luar negara. Rakyat yang hendak melawat ibu bapa sendiri di daerah yang berbeza pula dikenakan denda. Terkini timbul pula dakwaan pemimpin Kerajaan PN dan ‘kroni’ memotong barisan untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“iii. SOP PKP yang mengawal ketat sektor ekonomi ‘rakyat’ yang bersifat kais pagi makan pagi tetapi memberi kelonggaran kepada ekonomi ‘taikun’ sehingga mengakibatkan peningkatan kes harian COVID-19 yang amat tinggi.

“iv. Ketelusan Kerajaan PN mengumumkan jumlah kes harian COVID-19 yang melaporkan tunggakan kes sebagai kes harian sehingga memberi gambaran yang salah mengenai situasi sebenarnya yang berlaku di dalam negara kita.

“v. Kegagalan Kerajaan PN menguruskan ekonomi negara bukan setakat membawa pelaburan luar negara malah turut gagal mengekalkan pelaburan sedia ada sehingga mengakibatkan banyak syarikat antarabangsa memilih untuk berpindah ke negara jiran.

“vi. Pengisytiharan Darurat yang kononnya untuk membendung penularan pandemik COVID-19 tetapi dilihat telah sengaja menggantung sidang parlimen sehingga mengakibatkan Kerajaan PN melakukan sesuka hati tanpa perlu dipertanggungjawabkan kepada parlimen.

“vii. Tindakan Kerajaan PN yang berdolak-dalik dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat seperti pemberian i-sinar, pelanjutan moratarium dan pelbagai lagi sehingga perlu didesak berulangkali oleh pemimpin UMNO.

“viii. Kegagalan Kerajaan PN memberi keadilan terhadap isu-isu yang diwarisi daripada Kerajaan PH memandangkan terdapat juga para menteri PN yang sebelum ini merupakan menteri PH. Isu seperti keadilan untuk Allahyarham Adib, isu Tabung Haji yang telah dirobek oleh Kerajaan PH, isu pendakwaan politik terpilih yang melepaskan pemimpin seperti Lim Guan Eng dan Azmin Ali tetapi mensabitkan kesalahan terhadap pemimpin UMNO serta pelbagai lagi seolah-olah dilupakan sahaja oleh Kerajaan PN.

“ix. Integriti Kerajaan PN terutamanya YAB Perdana Menteri apabila terdapat pendedahan mengenai kelulusan sehingga RM puluhan juta bagi pembinaan dewan di Parlimen Pagoh dan dakwaan terhadap penglibatan ahli keluarga beliau di dalam tender bernilai lebih RM 1 bilion.

“x. Prestasi menteri Kerajaan PN yang kelihatan seperti tidak efektif serta tidak menjalankan tugas yang sepatutnya seperti Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat yang menjadikan pejabat menteri seperti studio peragaan fesyen, Menteri Pendidikan yang membuat keputusan ‘flip-flop’mengenai pembukaan sekolah, dan yang paling utama adalah ‘kehilangan’ para menteri dan timbalan menteri daripada pandangan mata rakyat walhal terdapat sejumlah 71 ahli yang telah dilantik untuk berkhidmat untuk rakyat di kementerian masing-masing,” ujarnya.

Menurut Aziz lagi, sebenarnya terdapat lebih daripada 10 sebab mengapa rakyat marah dan benci kepada Kerajaan PN, tetapi apa yang disenaraikan ini merupakan antara yang mengundang kemarahan dan rasa benci yang paling menebal di kalangan rakyat.

“Saya sekali lagi tetap dengan pendirian saya untuk mendesak YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyegerakan sidang parlimen supaya setiap isu yang dihadapi rakyat terutamanya melibatkan pengurusan krisis pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi dapat dibahaskan secara kolektif oleh ahli dewan parlimen.

“Ini bagi memastikan bahawa setiap keputusan dan tindakan yang diambil oleh Kerajaan benar-benar bersifat untuk menguruskan krisis dan bukannya demi kepentingan politik dan peribadi,” katanya.

Advertisment

Topik Hangat

Biro Politik UMNO Putus Beri Notis Masa 14 Hari Sidang Parlimen

(kemaskini 12.30 a.m) KUALA LUMPUR - Biro Politik UMNO yang mengadakan mesyuarat sebentar tadi membuat keputusan memberi notis  14 hari kepada kerajaan agar memanggil sidang...

Ada Gerakan Baharu Dari UMNO Untuk Sokong Anwar?

CYBERJAYA - Elit politik UMNO petang semalam gempar dengan pendedahan satu akaun twitter yang mendakwa ada gerakan terbaharu dari UMNO untuk menyokong Datuk Seri...

SD Bukan Sokong Hisham TPM, Cuma Elak Kami Kena Jual – Ahli Parlimen UMNO

CYBERJAYA: 29 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional bertindak menandatangani Akuan Berkanun (SD) memberi mandat kepada Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien sebagai...

Berita Berkaitan

Polis Terima Laporan Surat Palsu Hishammuddin Tawar Jadi PM

KUALA LUMPUR: Polis menerima laporan berhubung surat yang mengaitkan Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang kononnya menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong...

Demi Rakyat, Tok Pa Dan Kian Ming Sedia ‘Minum Kopi’ Bersama

KUALA LUMPUR: Sudah berapa lama kita rakyat mendambakan politik yang harmoni di mana kerajaan dan pembangkang saling berganding bahu membina negara yang kukuh dan...

PM Harap Lebih Banyak GLC dan NGO Bantu Jayakan PICK

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut serta memberi...